Dua pusat panggilan penipuan dalam talian diserbu

Antara suspek diberkas dalam serbuan yang dijalankan.
Antara suspek diberkas dalam serbuan yang dijalankan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lima individu diberkas dalam serbuan di dua buah premis dipercayai menjadi pusat panggilan bagi kes penipuan dalam talian di sekitar Lembah Klang pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komissioner Mahidisham Ishak berkata, serbuan berkenaan dijalankan Bahagian Risikan dan Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

"Dalam serbuan tersebut, lima individu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan serta seorang lelaki dan seorang wanita warganegara asing yang dipercayai terlibat dalam kes ini diberkas.

"Turut dirampas sejumlah empat unit komputer riba, 11 unit telefon bimbit, dua set router dan dua set modem yang disyaki digunakan bagi tujuan penipuan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, kesemua suspek direman sehingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati, sindiket berkenaan mula beroperasi sejak Mac lalu dan menyasarkan mangsa dari negara China," katanya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kegiatan atau aktiviti yang mencurigakan boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

Artikel Berkaitan: