UMNO Selangor desak batal nyah warta HSKLU
SABAK BERNAM - UMNO Selangor mendesak kerajaan negeri membatalkan terus penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Ketua Penerangannya, Datuk Abd Rahman Bakri berkata, UMNO tidak mahu keputusan itu ditangguhkan semata-mata, sebaliknya kerajaan negeri perlu ada ketegasan untuk membatalkan rancangan pembinaan pembangunan bercampur di kawasan hutan itu.
"Kami tidak mahu kerajaan negeri menangguhkan sementara, sebaiknya mahu ketegasan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan sebarang projek pembangunan di kawasan tersebut," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Abd Rahman berkata, menyahwartakan tanah hutan simpan itu bukan hanya menjejaskan biodiversiti hutan itu, sebaliknya tidak memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Jelas beliau, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diminta lebih peka dan sensitif berhubung isu itu dan menyelesaikannya segera.
"Sudah tentu penyahwartaan ini mengganggu gugat kawasan hutan dan ekosistem, mahupun kehidupan masyarakat setempat khususnya masyarakat Orang Asli," katanya.
Katanya, HSKLU wajib dipertahankan bagi menangani isu perubahan iklim dan cuaca pada masa ini.
"Kejadian bencana banjir besar dan bencana alam yang kerap antara kesan yang berlaku berpunca daripada perubahan iklim," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!