Ganjaran Ziyad: KBS akan kemuka cadangan kepada kabinet

Menteri Belia dan Sukan yang baharu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) ketika sidang media selepas penyerahan Nota Serah Tugas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini. Foto Bernama
Menteri Belia dan Sukan yang baharu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (kiri) ketika sidang media selepas penyerahan Nota Serah Tugas di Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mencadangkan kepada Kabinet mengenai ganjaran setimpal kepada jaguh lontar peluru paralimpik kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli bagi menghargai pencapaiannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, insiden pembatalan pingat emas tidak pernah dijangka malah tidak pernah difikirkan ketika dasar pemberian ganjaran kepada atlet yang meraih kejayaan di temasya sukan dibuat.

“Tidak kita terfikir perkara itu akan berlaku bagaimana caranya untuk kita memberi ganjaran kepada kes seumpama itu. Kes ini agak terpencil, macam masalah pandemik Covid-19 yang pada awalnya tiada negara yang tahu apa nak buat, begitu juga dengan kes Muhammad Ziyad.

“Jadi saya ingin cadangkan kepada kabinet kemungkinan kita perlu melihat perkara ini kerana ia agak asing dan tidak pernah berlaku,” katanya pada sidang media Majlis Penyampaian Nota Serah Tugas Menteri Belia dan Sukan di Menara KBS di sini pada Jumaat.

Selasa lalu, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Muhammad Ziyad, 31, dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (masalah pembelajaran) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Insiden itu menyaksikan Muhammad Ziyad terlepas ganjaran berjumlah RM1 juta yang dijanjikan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi kejayaan memenangi emas Paralimpik dan ganjaran tambahan RM100,000 daripada FWD Takaful.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini media melaporkan gesaan beberapa pihak berhubung pemberian ganjaran SHAKAM kepada Muhammad Ziyad sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan dan pencapaian beliau di Tokyo.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, beliau bersama barisan kabinet mempunyai tanggungjawab kepada kementerian masing-masing dan juga setiap perbelanjaan yang dikeluarkan.

“Perbelanjaan oleh kementerian iaitu kerajaan adalah duit rakyat dan kita perlu bertanggungjawab terhadap apa yang kami belanjakan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican optimis cadangan itu akan disambut baik kabinet yang turut dibarisi beberapa bekas menteri KBS antaranya Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Khairy Jamaluddin. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!