'Beri perhatian serius tingkatkan ekonomi, kualiti umat Islam di NS'
SEREMBAN - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir bertitah kerajaan negeri perlu memberi perhatian serius terhadap usaha meningkatkan ekonomi dan kualiti hidup umat Islam di negeri ini.
Baginda bertitah bagi mencapai hasrat tersebut, penstrukturan semula Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) pada 1 Januari lalu telah melibatkan penyelarasan fungsi Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan (Pemansuhan) 2021.
“Peranan dan fungsi MAINS diperkasakan untuk memajukan ekonomi dan sosial umat Islam di negeri ini. Penubuhan Perbadanan MAINS bertanggungjawab menguruskan hal ehwal pelaburan, perniagaan dan pengkomersialan serta perkara lain yang berkaitan.
“Bagi merealisasikan matlamat ini, RUU Perbadanan MAINS 2021 akan dibentangkan di dalam sidang Dewan Undangan Negeri kali ini,” titah baginda pada Istiadat Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14 di sini pada Jumaat.
Istiadat perasmian yang dihadiri 35 Anggota Dewan Undangan Negeri itu mempraktikkan penjarakan sosial dan pemakaian penutup hidung dan mulut.
Tuanku Muhriz turut menzahirkan sukacita prestasi kutipan zakat di negeri ini yang mencatatkan peningkatan setiap tahun dengan RM144.1 juta kutipan zakat, merangkumi zakat harta dan zakat fitrah, telah diperoleh pada tahun lepas, berbanding RM141.5 juta pada 2019.
“Jika sebelum ini golongan asnaf hanya menerima RM250 tanpa mengira bilangan isi rumah, namun MAINS telah menambah baik agihan zakat mengikut had kifayah dan melalui kaedah ini, asnaf akan menerima agihan zakat antara RM250 hingga RM800 mengikut per kapita isi rumah,” titah baginda.
Dalam mendepani pandemik Covid-19 pula, MAINS telah menyalurkan sebanyak RM5.6 juta sepanjang Jun hingga Julai ini bagi membantu golongan terjejas merangkumi bantuan tunai, bantuan makanan, termasuk keperluan dan peralatan kepada barisan hadapan.
Baginda turut menzahirkan harapan agar kerajaan negeri akan terus memartabatkan lagi agama Islam dan umat Islam di negeri ini, menerusi gerak kerja yang profesional bagi membuktikan kemampuan sebenar pengurusan Islam sebagai Ad-din.
Titah baginda, menerusi usaha dan inisiatif belanjawan 2021 kerajaan negeri merentasi sempadan bangsa dan agama, yakni antara langkah yang diambil adalah penyediaan bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Sekolah Swasta berjumlah RM2.5 juta
Selain itu, kerajaan negeri turut menyediakan hibah takaful kepada individu bukan Islam berjumlah RM0.5 juta dan penyaluran Akaun Amanah Hal Ehwal Bukan Islam berjumlah RM1.8 juta.
Dalam pada itu, Tuanku Muhriz turut menzahirkan sukacita dengan kejayaan negeri ini memasuki Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai esok hasil iltizam dan kesepakatan semua pihak.
Titah baginda kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun telah melaksanakan pelbagai tindakan dan inisiatif menerusi peruntukan RM29.4 juta bagi membiayai pelbagai inisiatif dan bantuan kepada rakyat dan barisan hadapan.
Baginda bertitah peruntukan tersebut merangkumi Bantuan Bakul Makanan Keperluan Asas 2021, pembelian bekalan oksigen untuk kegunaan di hospital dan sumbangan kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia.
Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan serta individu yang membantu di belakang tabir, yang memberi komitmen serta dedikasi tinggi, dalam usaha menangani penularan pandemik Covid-19.
Sementara itu, berkenaan prestasi ekonomi, Tuanku Muhriz bertitah negeri ini mencatatkan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Per Kapita (RM43,859) melebihi paras nasional (RM43,378) pada tahun lalu dan memperoleh kutipan hasil sebanyak RM447.88 juta.
Selain itu, nilai pelaburan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah sebanyak RM7.93 bilion, berbanding RM6.96 bilion pada tahun 2019 dan ia merupakan pencapaian tertinggi yang pernah dicatatkan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!