Syor Muhammad Ziyad diberi ganjaran
SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Jeram Padang, Datuk L.Manickam menyarankan kerajaan mempertimbangkan pemberian ganjaran yang sewajarnya kepada atlet olahraga paralimpik negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.
Manickam berkata, kesilapan atlet terbabit tidak hadir ke bilik lapor diri pada waktu yang ditetapkan adalah kesilapan pegawai pengiring dan bukannya daripada Muhammad Ziyad.
" Jangan sampai Muhammad Ziyad menjadi mangsa disebabkan kesilapan pihak lain tambahan pula sukan berkenaan adalah peringkat dunia bukan peringkat sekolah yang kebiasaan peserta dipanggil berkali-kali oleh urusetia kejohanan sukan.
"Peraturan tetap peraturan dan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pegawai pengiring yang leka sehingga atlet menjadi mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kemenangan atlet itu dibatalkan selepas dia dianggap tersingkir kerana didakwa lewat masuk ke 'call room' sebelum pertandingan dimulakan pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Menurut laman Facebook Team Malaysia, pingat emas itu secara rasmi diberikan kepada atlet Ukraine, Maksym Koval yang membuat bantahan selepas kemenangan Muhammad Ziyad.
Dalam pada itu, Manickam, Muhammad Ziyad sudah melakukan yang terbaik untuk negara dan turut melakukan pencapaian membanggakan dengan mencipta rekod dunia dalam acara disertainya.
"Justeru kerajaan wajar memberi ganjaran kepadanya biarpun tidak pada tahap sekiranya menang pingat emas. Ganjaran itu pula sebagai menghargai pencapaian serta sebagai motivasi kepadanya.
"Saya berharap Perdana Menteri dan Menteri Belia dan Sukan dapat mempertimbangkan saranan ini bahkan percaya seluruh rakyat Malaysia mahu Muhammad Ziyad diberi ganjaran setimpal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!