Usahawan bumiputera digesa teroka industri ternakan
USAHAWAN bumiputera digesa untuk melibatkan diri dalam industri ternakan kerana ia mampu menjana pendapatan kepada mereka dan pada masa yang sama membantu negara mengurangkan pergantungan terhadap import daging.
Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, dalam keadaan era pandemik sekarang rakyat Malaysia khususnya di Perlis perlu untuk terlibat dalam industri ternakan dan membuat satu kitaran ekonomi yang secara langsung dapat meningkatkan pendapatan terutamanya untuk golongan B40 dan M40.
“Pada masa yang sama dengan mengusahakan industri ternakan kita dapat mengurangkan pergantungan terhadap import daging dari luar negara,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Jumaat.
Beliau meninjau ladang ternakan yang dimiliki oleh Eco Green Global Sdn Bhd yang mengusahakan sistem pertanian moden tanpa bahan kimia dan sifar buangan untuk lembu dan kambing biri-biri.
Mohd Redzuan berkata, dengan adanya bantuan dan sokongan daripada kerajaan usahawan bumiputera boleh melangkah jauh dalam industri ternakan dan boleh menjana pendapatan yang menguntungkan kepada negara.
“Kita bertanggungjawab membantu pengusaha industri ternakan seperti syarikat Eco Green Global ini untuk dijadikan sebagai model oleh usahawan lain yang berminat dengan industri ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!