Dasar pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas perlu ditambah baik
KUALA LUMPUR - Dasar pendidikan khas nasional perlu ditambah baik dalam usaha menangani aspek pendidikan kanak-kanak berkeperluan khas, yang merupakan antara kumpulan rentan dalam komuniti.
Pusat Kajian Pendidikan & Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Hasnah Toran berkata, seharusnya terdapat hubungan kait yang baik kepada pasca pendidikan sekolah menengah yang akan membolehkan kanak-kanak meneruskan pembelajaran selepas menamatkan alam persekolahan.
"Ia menuntut usaha menghubungkan anak-anak ini dengan latihan vokasional dan pekerjaan," katanya pada simposium maya baru-baru ini bagi menangani keperluan masyarakat di Malaysia semasa pandemik Covid-19.
"Kita perlu melakukan intervensi awal yang komprehensif," katanya ketika mengulas topik "Pendidikan: Cabaran Pembelajaran Dalam Talian untuk Kanak-kanak Berkeperluan Khas," pada simposium yang dianjurkan oleh Yayasan RYTHM - inisiatif impak sosial Kumpulan QI.
Dr Hasnah dan Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Perancangan dan Dasar Pendidikan Universiti Malaya Dr. Donnie Adams Paramasivam yang bercakap mengenai pendidikan berkeperluan khas, bersetuju bahawa "kesedaran mengenai sains dan ciri-ciri pendidikan khas sangat diperlukan terutama bagi ibu bapa."
Pengerusi Yayasan RYTHM Datin Sri Umayal Eswaran berkata, ibu bapa, guru dan pelajar belum bersedia berhadapan dengan cabaran pandemik, tidak ada komunikasi bersemuka, apa lagi berurusan dengan isu-isu tingkah laku dan dan keperluan khas.
"Kanak-kanak ini tercicir daripada pembelajaran selama lebih dari setahun, dan mereka juga tidak dapat menghadiri terapi, sekolah, dan struktur pembelajaran yang sempurna.
Katanya, beberapa guru dan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman seperti di Sabah tidak dapat berurusan dalam talian kerana masalah kelemahan liputan internet.
“Pihak berkuasa perlu melihat semua kelemahan bagi komuniti segmen rentan ini untuk kebaikan Malaysia dalam pembentangan belanjawan 2022, dan juga Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.
Beliau berkata, simposium hari ini diadakan bagi melihat keperluan komuniti di Malaysia semasa pandemik, menggesa pemegang taruh untuk memberi tumpuan kepada komuniti rentan, terutama kumpulan B40 yahg kini dikenali sebagai kumpulan B60, berhubung cara yang lebih baik dan berkesan dalam menghadapi krisis yang belum pernah diharungi sebelum ini yang menimbulkan kebimbangan ramai.
Fokus utama simposium itu adalah untuk menggariskan posisi Yayasan berkenaan - yang termasuk berkaitan isu-isu ekonomi, untuk dibawa kepada pembuat dasar untuk tindakan lanjut,” katanya.
Ia bertujuan membantu usaha-usaha kerajaan menangani kesan terus dan tidak langsung pandemik terhadap kumpulan rentan seperti kanak-kanak berkeperluan khas, dan juga komuniti secara keseluruhan, menerusi penjanaan idea-idea serta cadangan bernas oleh pemegang taruh, dangan penyelesaian jangka panjang dan sederhana.
“Kanak-kanak berhadapan dengan risiko menjadi mangsa secara tersembunyi. Krisi yang kita hadapi bukan hanya melibatkan mereka yang menjadi mangsa serangan atau kumpulan rentan yang tidak mampu mempertahankan diri, tetapi juga keatas seluruh negara,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!