Kerajaan Perak setuju atlet isi kekosongan jawatan dalam kerajaan
IPOH - Atlet negeri ini akan diberikan kelebihan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam pentadbiran kerajaan Perak.
Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, keputusan itu dipersetujui di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Bagaimanapun beliau berkata, penyerapan masuk atlet ke dalam pentadbiran kerajaan itu berdasarkan kelayakan dan latar belakang pendidikan sebagaimana ditetapkan.
"Untuk makluman semua, mesyuarat kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan kelebihan kepada atlet kita untuk menjawat jawatan di dalam pentadbiran.
"Tetapi kelayakan itu mestilah diambil kira, mungkin kita uruskan seminima yang boleh," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Nota Persefahaman (NOU) antara Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak secara maya pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Khairul Shahril menjelaskan kelayakan atlet untuk mengisi kekosongan jawatan itu akan diteliti supaya sebarang proses semasa mereka menjawat jawatan diberikan tidak terganggu.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan pihak USAS mempertimbang serta menilai potensi untuk memperkenal program pengajian baharu dalam bidang Sains Sukan dan Pengurusan Sukan.
"Saya mohon jasa baik agar pihak USAS dapat dapat mewujudkan satu 'task force' untuk memperhalusi cadangan kursus ini sebagai satu lagi ruang dan peluang untuk atlet Perak.
"Ia adalah untuk membolehkan atlet-atlet yang berada di Perak menyambung pengajian di dalam kursus tersebut memandangkan di negeri ini hanya Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sahaja menawarkan program tersebut," katanya.
Pada Januari, Khairul Shahril dalam satu kenyataan memberitahu kerajaan Perak berhasrat memberi keutamaan kepada para atletnya mengisi kekosongan jawatan dalam kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
Katanya, langkah itu dilihat penting bagi memastikan kebajikan atlet di negeri ini terjaga selain mengelakkan mereka berpotensi di ambil berkhidmat di negeri lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Atlet Perak diberi keutamaan isi jawatan kerajaan, GLC
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!