McDonald’s jana 10,000 peluang pekerjaan untuk belia Malaysia
McDonald’s Malaysia menjangkakan 10,000 peluang pekerjaan baharu bakal disediakan kepada golongan belia melalui sasaran pembukaan 500 restoran menjelang 2026.
Sejajar dengan agenda nasional, McDonald’s Malaysia komited untuk terus membantu generasi muda membina kerjaya, mengembangkan potensi diri dan bakat mereka melalui program-program kerjaya di McDonald’s.
McDonald’s Malaysia telah membuktikan kejayaan syarikat yang didukung oleh kekuatan lebih 14,000 kakitangan di lebih 300 restoran McDonald’s di seluruh negara yang turut dipacu oleh generasi muda.
Bukan sekadar menyediakan pekerjaan, namun peluang dalam bentuk latihan, pembelajaran dan pembangunan bertaraf dunia merupakan antara kelebihan yang menjadi platform untuk menarik minat belia memulakan kerjaya mereka di sini.
Semua ini bermatlamat mempersiapkan golongan belia dengan kemahiran industri yang lengkap dan menerapkan nilai kerja yang boleh diguna pakai di mana-mana organisasi.
Melalui Akademi Vokasional McDonald’s, syarikat restoran khidmat segera ini menawarkan pendekatan pembelajaran yang pelbagai dalam menyampaikan prinsip latihannya.
Ini termasuklah bimbingan sambil bekerja, latihan di dalam kelas, pembelajaran kendiri serta alat pembelajaran bersesuaian untuk kakitangan yang direka khas bagi membolehkan golongan belia mendalami peranan dan membiasakan diri dengan amalan terbaik dalam industri perkhidmatan makanan.
Mengambil contoh Program Perantis Vokasional McDonald’s secara Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), hasil kerjasama McDonald’s Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia, para perantis menjalani program selama 18 bulan merangkumi 70 peratus latihan praktikal di restoran-restoran McDonald’s dan 30 peratus pembelajaran teori di pusat latihan.
Sejurus tamat program, perantis berupaya untuk terus membina kerjaya di McDonald’s atau bekerja di mana-mana syarikat dalam industri perkhidmatan makanan di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, McDonald’s komited dalam menyokong belia Malaysia untuk memenuhi potensi diri dengan membantu mereka membina keyakinan dan membangunkan kemahiran interpersonal.
Menurutnya, program-program utama seperti Program Perantis Vokasional McDonald’s, direka khas untuk memperkasa generasi muda dalam perjalanan kerjaya mereka dan menyediakan batu loncatan ke arah masa hadapan yang cerah dan bermakna.
“Sebagai majikan yang mementingkan pembangunan golongan belia Malaysia, kami ingin memastikan McDonald’s terus menjadi syarikat pilihan mereka, khususnya belia yang ingin membina kerjaya yang bermakna dan berkekalan dalam industri perkhidmatan makanan,” katanya.
Sementara itu, JPK menyambut baik Program Perantis Vokasional McDonald’s secara SLDN yang telah melahirkan ramai pekerja yang lebih kompeten dan berdaya saing sejak diperkenalkan pada tahun 2018.
Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran JPK, Dato’ Ts. Zaihan Shukri berkata, dengan penganugerahan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 bagi bidang penyediaan makanan dan minuman oleh JPK setelah perantis menamatkan latihan adalah sejajar dengan hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang berpengetahuan (K-Pekerja).
“SLDN menekankan latihan amali berbanding teori sesuai dengan keperluan alam pekerjaan sebenar. Belia disarankan untuk mengambil peluang melibatkan diri dalam program ini bagi memperolehi kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan sektor perkilangan dan industri,” katanya.
Selain itu katanya, perantis juga berkebolehan untuk mengatasi masalah yang dihadapi dengan lebih sistematik dan membantu syarikat menghasilkan produk berkualiti, produktiviti meningkat dan perkhidmatan lebih cemerlang.
“SLDN membantu perantis membina keyakinan diri dan meningkatkan lagi kemahiran diri masing-masing.
“Program ini membuktikan kejayaan bersama terutama kepada belia dan syarikat. Usaha berterusan perlu diwujudkan bagi meningkatkan kemahiran belia ke tahap yang lebih tinggi.
“Oleh itu, semua majikan diseru untuk mengambil peluang ini bagi melahirkan modal insan berkemahiran dalam usaha membantu negara dalam hasrat mencapai negara maju,” tambahnya.
Kini, lebih 2,000 belia dilatih sebagai perantis di restoran McDonald’s di seluruh negara dengan jalinan kerjasama berterusan antara JPK dan McDonald’s Malaysia.
Manfaat SLDN:
• Dibuka kepada belia lepasan Penilaian Tingkatan 3 (PT3) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
• Setiap perantis diberikan elaun sara hidup bulanan sebanyak RM1,200.
• Kemudahan tempat tinggal.
• Manfaat perubatan dan insurans.
• Makanan percuma sepanjang program.
Melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan, McDonald’s komited membentuk masa hadapan belia Malaysia dengan menyediakan pembangunan jangka panjang dan membantu kakitangannya memimpin pasukan sebagai seorang pengurus.
Setiap tahun, lebih 1,000 Pengurus McDonald’s menamatkan program kurikulum Pengurusan Restoran McDonald’s, dengan kemampuan memimpin, berkomunikasi dan kepakaran dalam operasi restoran.
Sehingga kini, 50 peratus Pengurus Restoran adalah wanita dan 228 daripada keseluruhan warga kerja McDonald’s adalah OKU.
McDonald’s:- Menggaji 100 peratus rakyat Malaysia.
- Mengutamakan keluarga berpendapatan rendah termasuk asnaf dan komuniti luar bandar.
- Mengaplikasikan syarikat yang inklusif dan berbilang bangsa.
- Memberi peluang pekerjaan sama rata kepada golongan wanita & orang kelainan upaya (OKU).
APA KATA MEREKA
“Pertama kali menyertai program ini, saya agak pemalu dan takut untuk mencuba perkara baharu. Melalui program ini dan selama saya di McDonald’s, saya menjadi lebih yakin dan lebih fokus untuk membina kerjaya dengan mengatasi rasa takut melalui latihan ekstensif dan sokongan yang saya terima di sini.” - Ketua Kru McDonald’s Mont Kiara, KL, Nur Fazera Natasya Iman Mohd Azri
“Saya bukan sahaja mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada pengurus-pengurus dan rakan sekerja yang mesra dan berpengalaman, tetapi dapat sama-sama menyumbang dan mengambil bahagian dalam operasi harian. Dengan umur saya yang baru 18 tahun, pengetahuan dan latihan yang saya terima amat berharga.” - Pelajar Praktikal McDonald’s Pandu-Lalu Bandar Seri Putra, Kajang, Khor Wei Nern
“Saya bermula sebagai perantis dan kini berjaya memegang jawatan yang baik di McDonald’s. Saya sudah bersama McDonald’s selama 3 tahun dan saya mahu menjadi Pengurus Besar Restoran sebaik tiba tahun ke-6 saya di sini. Saya juga telah menetapkan matlamat tahun ke-10 saya, untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Konsultan Operasi.” - Penolong Pengurus & Pengurus Syif McDonald’s Pandu-Lalu Rawang, David Janil Raj
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!