Pasukan akur pembatalan Piala Presiden, Piala Belia
KEBANYAKAN pasukan bersetuju keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membatalkan Piala Presiden dan Piala Belia musim ini dengan mengambil kira perkara berkaitan soal kesihatan dan keselamatan pemain muda.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC), Ab Rasid Jusoh berkata, pihaknya percaya FAM telah berusaha melakukan perancangan dan perbincangan dengan pihak berkuasa bagi mendapatkan kelulusan dalam memastikan kedua-dua pertandingan itu dapat dijalankan.
Namun, beliau mengakui pembatalan kedua-dua saingan itu tetap menyebabkan pembangunan akar umbi terus terbantut apabila pemain muda akan kehilangan minit permainan terutama selepas pertandingan itu turut terpaksa dibatalkan musim lepas.
"Satu kerugian juga kepada pemain Terengganu FC III dan Terengganu FC IV. Tapi atas sebab keselamatan dan kesihatan yang perlu diutamakan ketika ini, kami terpaksa akur dengan pembatalan ini.
"Bagi saya, betul tindakan FAM umumkan lebih awal pembatalan ini supaya pasukan tidak rugi dari segi kewangan dan terus menunggu status pertandingan yang kita sendiri tak pasti bila pihak berkuasa akan beri kebenaran," katanya dalam kenyataan dikongsikan kepada media pada Khamis.
Pada masa sama, CEO Kedah Darul Aman (KDA) FC, Khamal Idris Ali mengakui situasi dihadapi pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia berbeza dengan saingan Liga Super dan Liga Premier yang mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Beliau berkata, kebanyakan pemain dalam kategori remaja bagi dua pertandingan itu belum lengkap divaksin.
"Di pihak KDA FC, kita akui yang pemain muda di era ini kerugian kerana ketiadaan pertandingan kompetitif sepanjang dua tahun ini. Tapi kita perlu tekankan soal keselamatan dan kesihatan pemain sebagai perkara yang lebih penting pada ketika pandemik Covid-19.
"Pertandingan Piala Presiden dan Piala Belia ini, masih ramai belum lengkap divaksin dan kita perlu faham mengenai bahaya dan risikonya nanti jika kedua-dua pertandingan ini tetap mahu dijalankan, biarpun secara karnival sekali pun," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Kelantan United FC, Wan Mohd Zul Ikman Wan Ab Aziz berkata, sekiranya FAM tidak mengumumkan keputusan pembatalan itu lebih awal ia akan lebih menyukarkan persediaan pasukan bertanding.
"Lagipun sekarang sudah masuk September dan jika ingin diteruskan juga, takkan nak dijalankan pada Oktober atau November. Sepatutnya waktu begini kita sudah mula persiapan musim baharu," katanya.
FAM sebelum ini mengumumkan saingan Piala Presiden dan Piala Belia dibatalkan buat tahun kedua berturut-turut ekoran pandemik Covid-19. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!