Nasib wanita tidak menentu, UN Women kekal di Afghanistan
BANGKOK - Disebabkan wujudnya ketidakpastian terhadap kedudukan wanita dan gadis di Afghanistan, agensi pemerkasaan wanita Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kekal komited untuk terus berada di negara itu dan membela nasib wanita Afghanistan.
Mohammad Naciri, Pengarah Wilayah Asia dan Pasifik UN Women yang beribu pejabat di Bangkok, berkata, keadaan di sana sangat berbeza sejak Taliban kembali berkuasa di Afghanistan pada Ogos.
"Terdapat tahap kebimbangan dan ketidaktentuan bagi semua orang terutamanya wanita dan gadis. Kami belum dapat menjangkakan bagaimana situasinya dalam beberapa minggu akan datang.
“Namun, kami bertekad untuk bertahan dan berjuang. Ini adalah pendirian kami. Kami masih mempunyai kakitangan antarabangsa.
"Pasukan kami akan kekal di situ. Kami terus memberikan komitmen kepada wanita dan gadis di Afghanistan dan tidak akan meninggalkan mereka,” katanya kepada dalam satu temu bual di sini melalui Zoom.
Meskipun Taliban telah memberi jaminan bahawa hak wanita akan dihormati mengikut "undang-undang Islam", Mohammad berkata "kami masih tidak tahu bagaimana interpretasi mereka terhadap undang-undang Islam dan apakah struktur tadbir urus mereka".
Beliau juga meluahkan kebimbangannya terhadap jurang antara kenyataan dan arahan pemimpin di Kabul yang mungkin tidak sampai hingga ke semua wilayah.
Ramai gadis dan wanita merasa tidak selesa meninggalkan rumah mereka dan ketika berada di jalanan.
"Kerajaan telah memanggil semua pekerja untuk kembali bertugas termasuk wanita, tetapi ini hanya berlaku di Kabul. Ada laporan menyatakan ia tidak perlu di wilayah lain.
“Kami juga mendengar beberapa laporan bahawa wanita tidak boleh meninggalkan rumah mereka tanpa pengiring lelaki. Bagaimanapun, kita perlu mengesahkan laporan-laporan ini. Ia tentu saja membuatkan kita sedar bahawa hasrat kepemimpinan politik Taliban di Kabul adalah satu perkara berbeza dengan apa yang berlaku di wilayah dan kampung lain.
"Oleh itu, Mohammad berharap PBB dan Taliban dapat segera mengadakan dialog.
"Kita harus menuntut mereka bertanggungjawab terhadap kenyataan dan janji yang telah dibuat, termasuk memelihara dan melindungi hak-hak wanita dan gadis dalam kerangka persidangan antarabangsa, bukan hanya di Kabul tetapi di seluruh pelosok negara itu,” katanya.
Mohammad berharap hak dan penglibatan wanita menjadi sebahagian daripada dialog PBB bersama Taliban.
"UN Women akan terus memperjuangkan undang-undang untuk memastikan hak wanita dan gadis terpelihara dan dipromosi. Kami berada di sana untuk meneruskan usaha di lapangan, termasuk untuk memperkasakan wanita secara ekonomi dan menghentikan keganasan terhadap wanita," katanya.
Ketika ini, Mohammad mengatakan fokus utama UN Women adalah memastikan wanita terus melibatkan diri secara aktif dalam masyarakat di bidang politik, ekonomi dan sosial serta memiliki akses yang sama rata dalam semua perkhidmatan merangkumi pendidikan, kesihatan dan undang-undang.
“Kita mahu melihat wanita terus berada di Parlimen dan juga memegang jawatan kanan kerajaan. Kita perlu memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua wanita terutamanya pembela hak asasi wanita.
"Kita harus memastikan wujudnya usaha bersama antara kerajaan dan semua orang bagi mengakhiri segala bentuk kekerasan terhadap wanita dan gadis," katanya.
Pada Selasa, Setiausaha Agung PBB António Guterres menyatakan kebimbangan mendalamnya terhadap krisis kemanusiaan dan ekonomi yang semakin meruncing di Afghanistan dan ancaman kekurangan ketara dalam perkhidmatan asas.
“Berbanding sebelumnya, kanak-kanak, wanita dan lelaki Afghanistan kini lebih memerlukan sokongan dan solidariti masyarakat antarabangsa, katanya dalam satu kenyataan.
Ketua UN Women, Pramila Patten dalam satu kenyataan pada Selasa meminta Taliban untuk melibatkan wanita dalam tadbir urus serta sebagai pembuat keputusan, yang dianggap sebagai "ujian litmus utama bagi Taliban".
Selepas hampir 20 tahun, pejuang Taliban memasuki Kabul pada 15 Ogos dan menguasai Afghanistan ketika tentera AS berundur dari negara itu. Penguasaan Taliban di ibu negara Afghanistan menyebabkan Presiden Mohammad Ashraf Ghani meninggalkan negara itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!