Roziah sah dilantik Naib Canselor UiTM baharu

Noraini (dua dari kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Roziah pada Jumaat. - Foto: Ihsan Facebook Noraini
Noraini (dua dari kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Roziah pada Jumaat. - Foto: Ihsan Facebook Noraini
A
A
A

SHAH ALAM – Profesor Dr Roziah Mohd Janor sah dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Jumaat menerusi Facebooknya selepas menyerahkan surat pelantikan itu kepada Roziah.

“Hari ini (Jumaat), saya telah menyerahkan surat pelantikan kepada Profesor Dr Roziah Mohd Janor sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang baharu.

“Beliau merupakan wanita pertama dilantik sebagai Naib Canselor UiTM,” katanya.

Isu membabitkan jawatan tertinggi universiti itu sebelum ini timbul selepas tular dua surat berhubung pelantikan dan penangguhan pelantikan Roziah di media sosial.

Surat pelantikan yang tular itu adalah mengenai pelantikan Roziah sebagai Naib Canselor yang ditandatangani Noraini melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos lalu, manakala satu lagi surat ditandatangani Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Husaini Omar menyatakan mengenai penangguhan lantikan.

Noraini berkata, Roziah, 58, memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Matematik dari The State University of New York, New Paltz New York, Amerika Syarikat (AS), Ijazah Sarjana dalam bidang sama dari West Virginia University AS dan seterusnya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Statistik pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurutnya, Roziah turut menggerakkan 22 inisiatif Globally Reknowned University 2025 seperti penggabungan fakulti menjadi Kolej Pengajian 10 bidang, Education 5.0 @UiTM dan Global Learning.

Artikel Berkaitan:

"Beliau turut menganggotai badan profesional Malaysia Board of Technologist (MBOT) dan pernah menerima pelbagai anugerah seperti Staff Excellence Award UiTM pada tahun 2017, 2013, 2009, 2008 dan 2002 serta Researcher of the Year UiTM 2007.

"Selain itu, beliau juga berjaya memperoleh Bronze Medal for GPP Modified Socio Mobility Index: Quantifying Actual Development Impact daripada Malaysian Association of Research Scientist dan lain-lain,” katanya.

"Dengan visi menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti mega, seterusnya memberi peluang yang luas kepada Bumiputera memperbaiki taraf hidup melalui pendidikan tinggi dalam semua bidang, saya percaya Roziah mampu menggalas tanggungjawab ini dan meneruskan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan UiTM," ujarnya.

Noraini dalam masa sama turut merakamkan penghargaan dan terima kasih beliau kepada Profesor Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim atas jasa dan baktinya menerajui universiti itu selama lebih dua tahun sejak 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!