Mangsa banjir di Sabah meningkat kepada 68 orang
KOTA KINABALU - Mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini meningkat kepada 68 orang daripada 21 keluarga sehingga jam 4 petang berbanding 39 orang daripada 13 keluarga pagi Jumaat.
Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, 53 mangsa daripada 17 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan DSP DUN Banir di Beaufort, manakala 15 mangsa daripada empat keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol, Sipitang.
"Sebanyak 60 kampung di Beaufort dan lima kampung di Sipitang terjejas akibat banjir yang berlaku disebabkan hujan lebat yang turun pada 1 Sept lepas, menyebabkan paras air Sungai Mengalong naik dengan mendadak.
Limpahan air sungai tersebut menyebabkan kampung-kampung berdekatan dinaiki air dan cuaca di Beaufort, Tenom dan Membakut kini mendung dan Tenom masih hujan," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi paras air di sungai-sungai di Membakut dan Beaufort, antaranya Sungai Padas, didapati pada paras bahaya manakala sungai-sungai di Tenom adalah pada paras amaran.
Sementara itu, tinjauan di Kota Kinabalu mendapati beberapa kawasan dilanda banjir kilat, antaranya di Kolombong, Inanam, Likas, Sepanggar dan Telipok, dipercayai akibat hujan lebat sejak lewat petang Khamis.
Ketika berita ini ditulis hujan masih lebat di kawasan-kawasan berkenaan dan banjir kilat berlarutan.
Beberapa jalan utama seperti Jalan Lintas dan Jalan Kolombong juga mula dinaiki air mengakibatkan aliran trafik bergerak perlahan.
Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik meminta orang ramai supaya berhati-hati menggunakan jalan raya ketika hujan lebat dan pihaknya sedang memantau jalan-jalan utama di negeri ini bagi memastikan keselamatan penduduk.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima laporan tentang Jalan Apin-Apin Keningau di Jambatan Liau Laut yang runtuh, dipercayai disebabkan oleh hakisan berikutan hujan lebat berterusan.
"Laluan ini merupakan laluan utama Jalan Keningau ke Tambunan dan kini tidak dapat dilalui berikutan berlakunya mendapan ini, sehubungan itu tindakan susulan akan dilakukan dan diusahakan secepat mungkin," katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.
Robert menasihatkan pengguna jalan raya menggunakan jalan alternatif untuk ke Pekan Keningau dari arah Apin-Apin dan Tambunan, sama ada melalui Jalan Ranggom atau Kapayan menghala ke Jalan Magatang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!