Bukan masanya tuding jari kepada mana-mana pihak

Ketua Kontinjen Malaysia tegaskan sekarang bukan masanya menuding jari terhadap mana-mana pihak berhubung kontroversi melanda jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto fail Bernama
Ketua Kontinjen Malaysia tegaskan sekarang bukan masanya menuding jari terhadap mana-mana pihak berhubung kontroversi melanda jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020. - Foto fail Bernama
A
A
A

KETUA Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menegaskan sekarang bukan masanya untuk menuding jari terhadap mana-mana pihak berhubung kontroversi melanda jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli di temasya sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Sebaliknya, beliau berkata, kontinjen Malaysia mengambil tanggungjawab bersama dan memikul beban sama rata terhadap isu pembatalan pingat emas Ziyad dalam acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) pada 31 Ogos lalu.

“Insya-ALLAH, kita tidak akan kecam mana-mana pihak. Kita sebagai satu pasukan ambil tanggungjawab bersama selain amalkan sikap menang dan usaha keras sebagai satu pasukan,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menjamin siasatan yang sedang berlangsung ketika ini akan dilakukan dengan telus bagi mencari punca sebenar yang menyebabkan isu berkenaan timbul.

Selasa lepas, arena sukan dunia digemparkan dengan insiden mengejutkan di Tokyo selepas Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang merupakan rekod dunia baharu.

Beliau telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Ziyad lewat melaporkan diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

Pada Rabu, Olahraga Para Dunia (WPA) menolak rayuan dikemukakan Malaysia berhubung keputusan itu, namun pihak Jawatankuasa Penganjur memaklumkan segala protes dan rayuan susulan boleh dibuat secara bertulis kepada IPC dan WPA sejurus temasya berakhir.

Artikel Berkaitan:

Pembatalan pingat emas Ziyad adalah berdasarkan Peraturan 5.5 WPA - 'Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu' yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual bilik menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

Dalam pada itu, Megat D Shahriman juga mengharapkan agar segala keputusan rayuan mereka kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan WPA akan dilakukan secara profesional.

Beliau berkata demikian susulan langkah yang akan diambili pihaknya untuk memanjangkan isu berhubung keputusan acara itu ke IPC dan WPA sejurus temasya berprestij itu berakhir. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!