SOP fasa 4 Labuan bagi rentas negeri, sektor ekonomi mulai 1 September

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

LABUAN - Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Labuan telah bersetuju melonggarkan kuarantin wajib ke atas pengunjung dan kru kapal yang memasuki Wilayah Persekutuan itu.

Pengerusinya, Rithuan Ismail berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang baharu diselaraskan bagi kuarantin telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara dan berkuat kuasa pada 1 September lepas.

“Kelonggaran itu selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk kadar vaksinasi yang paling tinggi dalam kalangan penduduk dewasa di sini,” katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Beliau berkata, tempoh kuarantin bagi memasuki Labuan hanya lima hari bagi penduduk setempat dan rakyat Malaysia yang menetap di pulau itu, dan dengan keputusan negatif bagi ujian tindak balas rantai polimerase transkripsi balikan (RT-PCR) (sah selama tiga hari) serta pengunjung digalak melengkapkan pengambilan dos kedua vaksin.

“Bagi penjawat awam yang ingin memasuki Labuan bagi tugas rasmi selama tiga hari, mereka boleh memohon SOP gelembung hijau manakala penduduk Labuan yang melakukan perjalanan ke luar untuk urusan rasmi, mereka tidak perlu menjalani kuarantin (selepas kembali), dengan syarat ujian RT-PCR mereka (bagi tempoh tiga hari) masih sah,” katanya.

Rithuan berkata, pengunjung (penduduk Labuan, rakyat Malaysia yang menetap di pulau itu dan penjawat awam) yang tidak divaksin akan diarah menjalani kuarantin selama 10 hari sejurus tiba di sini dan dikehendaki menjalani ujian RTK-Antigen pada hari kelapan dalam tempoh kuarantin.

SOP bagi kru kapal adalah seperti berikut – semua kru kapal digalak mendapatkan vaksinasi dan menjalani ujian RT-PCR di pelabuhan terakhir sebelum berangkat.

“Pemilik perlu membuat pengisytiharan bahawa kapal mereka adalah bebas daripada gejala Covid-19 dalam tempoh 14 hari ia beroperasi di perairan domestik dan 21 hari di perairan antarabangsa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, tidak ada sekatan bagi pertukaran kru kapal atau ‘sign on’ dan ‘sign off’(terpakai hanya untuk kru rakyat Malaysia yang bekerja di kapal berdaftar di Malaysia).

“Tidak akan ada arahan kuarantin untuk kru yang bakal tiba tetapi hanya untuk mereka yang dengan keputusan negatif bagi ujian RT-PCR,” katanya.

Rithuan juga berkata, larangan (bagi memasuki Labuan) terhadap kapal asing dari India, Bangladesh, Nepal, Pakistan dan Sri Lanka masih kekal. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!