Kereta Myvi lintas jambatan hanyut dibawa arus deras

Perodua Myvi jatuh dari jambatan dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Jalan Kionsom Lama, Inanam, Kota Kinabalu.
Perodua Myvi jatuh dari jambatan dan dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Jalan Kionsom Lama, Inanam, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebuah kereta Perodua Myvi yang sedang melintas jambatan dihanyutkan arus deras dalam kejadian di Jalan Kionsom Lama, Inanam di sini, petang Jumaat.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, dua individu yang berada di dalam kenderaan berkenaan bernasib baik apabila dipercayai sempat menyelamatkan diri.

Setakat ini, masih belum ada sebarang pengesahan dari pihak berkuasa namun beberapa penduduk sekitar mendakwa mangsa yang dikenali sebagai Joseph berjaya menyelamatkan diri.

Detik cemas itu sempat dirakam oleh pemandu yang berada di belakang kenderaan berkenaan sebelum videonya berdurasi 16 saat tular di media sosial.

Seorang saksi kejadian yang dikenali sebagai Lester Bingkasan berkata, sebelum kejadian dia bersama isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.

Beliau bagaimanapun berkata, mereka terpaksa berhenti di tepi jalan sementara menunggu hujan reda berikutan keadaan Sungai Kionsom deras susulan hujan lebat sejak jam 3 petang.

"Selepas menunggu hampir tiga jam, keadaan hujan semakin reda namun arus sungai masih deras.

"Dalam masa sama, tiga kenderaan pacuan empat roda berjaya melepasi jambatan konkrit berkenaan. Ia mungkin memberi keyakinan kepada pemandu Myvi untuk cuba melepasi jambatan berkenaan," katanya ketika dihubungi, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, itu pengalaman pertamanya melihat kejadian cemas sebuah kereta dihanyutkan arus deras.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.01 petang.

Katanya, pasukan bomba yang menggunakan lori kemudiannya dikerah ke lokasi kejadian bagi mencari dan menyelamat mangsa.

"Setakat ini, pasukan bomba masih belum menerima sebarang laporan sama ada mangsa dan kenderaan sudah ditemui atau sebaliknya.

"Terdapat laporan di media sosial yang mendakwa mangsa sudah ditemui, namun usaha sedang giat dijalankan bagi mencari dan menyelamat individu terbabit," katanya.

Agustavia berkata, pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan kepada media dari semasa ke semasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!