CCMC syor buka lebih banyak sektor ekonomi di KL, Putrajaya

Shahidan Kassim
Shahidan Kassim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Penyelarasan dan Pengurusan Covid-19 Wilayah Persekutuan (CCMC) akan mengesyorkan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, syor itu bagi mempersiapkan kedua-dua wilayah berkenaan untuk beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan seterusnya merancakkan semula sektor ekonomi yang telah banyak terjejas.

“Pada dasarnya, kita (Kuala Lumpur dan Putrajaya) ingin sangat beralih ke Fasa Dua mengambil kira kadar vaksinasi bagi populasi penduduk dewasa yang telah melebihi 100 peratus dan terdapat trend penurunan kes harian Covid-19.

“Hal ini penting kerana Fasa Dua PPN melibatkan banyak sektor ekonomi terutama di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula sebagai pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan, namun keputusannya tertaluk kepada MKN,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat CCMC di sini pada Jumaat.

Berdasarkan statistik Jawatankuasa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sehingga Khamis, ketiga-ketiga Wilayah Persekutuan termasuk Labuan telah berjaya melepasi sasaran 80 peratus penduduk lengkap divaksinasi.

Bagi Kuala Lumpur, sebanyak 2.7 juta individu menerima suntikan dos pertama vaksin dan bagi individu lengkap suntikan dua dos adalah 2.1 juta.

Putrajaya pula merekodkan 126,656 individu (dos pertama) dan 117, 094 individu (dos kedua) manakala Labuan yang kini beralih ke Fasa Empat PPN mencatatkan 70, 313 individu (dos pertama) dan 67,818 individu (dos kedua). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!