Mata wang kripto aset, komoditi berharga
SHAH ALAM - Profesor Madya di Institut Kewangan dan Perbankan Islam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Aznan Hasan berpandangan bahawa mata wang kripto merupakan sebuah aset atau komoditi yang berharga oleh masyarakat pada masa kini.
Ujar beliau, mata wang kripto adalah sesuatu yang bernilai yang mana boleh digunakan untuk tujuan pelaburan dan urusan jual beli lain.
“Tetapi ia bukan mata wang.
Dalam erti kata, ia tidak tertakluk kepada hukum-hakam mata wang.
“Ia salah satu komoditi yang berharga.
Buktinya orang menilai ia berharga.
“Jadi untuk orang menilai ia tidak berharga, kita telah menolak penerimaan manusia,” katanya dalam program Wacana Al-Quran edisi Aktifkan Minda Berwakaf bertajuk ‘Matawang Kripto: Memanfaat Arus Kemajuan’ secara dalam talian.
Program tersebut turut menampilkan Ketua Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail sebagai moderator dan qari, Ustaz Mohamad Husaini Mahmur yang mengalunkan bacaan Surah Al-Kahfi, 18:19.
Mengulas lanjut, Aznan berkata, ia satu perkara yang biasa apabila sesuatu perkara itu menjadi bernilai kepada masa-masa yang lain.
Menurutnya, perubahan untuk sesuatu penilaian itu berubah dari satu masa ke satu masa.
“Mata wang kripto yang ada pada hari ini pada hakikatnya ia sesuatu perkara masyarakat menerimanya sebagai benda yang bernilai.
“Kalau tidak tak adalah orang melakukan transaksi, mempunyai pemilikan dan sebagainya,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!