Utusan Khas ASEAN belum dapat tarikh kunjungan ke Myanmar

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Utusan Khas ASEAN ke Myanmar Erywan Mohd Yusof masih berusaha mendapatkan tarikh untuk melawat Myanmar.

Saifuddin, yang baru kembali memegang portfolio hal ehwal luar negara bagi kali kedua berkata, beliau telah menghubungi Erywan pada Rabu dan menyampaikan pandangannya termasuk lawatan itu yang sebaiknya dilakukan sebelum sidang kemuncak ASEAN bulan depan.

"Saya faham bahawa utusan khas telah pun berhubung dengan pihak berkuasa di Myanmar dan berusaha keras untuk masuk ke Myanmar secepat mungkin," katanya kepada wartawan dalam sidang media maya, di sini pada Jumaat.

Saifuddin turut menekankan bahawa Erywan, yang juga Menteri Luar Kedua Brunei, harus diberi akses untuk bertemu sebanyak mungkin kumpulan berkepentingan sejajar dengan hasrat kelima konsensus yang dicapai ASEAN dalam membantu mencari penyelesaian kepada kemelut di Myanmar sejak junta tentera menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pada 1 Feb lepas.

"Kami sedikit bimbang bahawa pihak berkuasa Myanmar mungkin tidak memberikan akses kepada semua pihak yang berkepentingan, namun demikian, saya memberitahu Erywan beliau harus secepat mungkin mencuba mengunjungi Myanmar lebih daripada sekali sepanjang tempoh jawatannya dan berharap beliau dapat bertemu sebanyak mungkin pihak berkepentingan,” katanya.

Saifuddin juga menzahirkan kebimbangannya terhadap bantuan kemanusiaan kerana Pusat Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA), yang seharusnya menyampaikan bantuan ke Myanmar, belum bersedia untuk mengendalikan bantuan kemanusiaan di zon konflik.

"Ini adalah masalah besar bagi Pusat AHA dan saya berpandangan Erywan sedang berusaha mencari jalan dan kaedah supaya bantuan kemanusiaan dapat dihantar kepada yang memerlukan tanpa halangan," katanya.

Lima Konsensus itu ialah penamatan segera keganasan di Myanmar dan semua pihak harus bertenang; dialog yang membina antara semua pihak yang berkenaan untuk memulakan penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat; utusan khas Pengerusi ASEAN sebagai perantara proses dialog dengan bantuan Setiausaha Agung ASEAN; persatuan boleh memberikan bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA; dan utusan khas dan delegasi diberi akses mengunjungi Myanmar untuk bertemu dengan semua pihak yang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Afghanistan, Saifuddin mengulangi kenyataannya pada Rabu bahawa Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati dalam memutuskan pendirian rasminya terhadap kerajaan Taliban dan mengikuti rapat perkembangan di negara itu melalui suruhanjaya tinggi di New Delhi dan Islamabad.

“Semalam (Khamis), saya telah bertemu dengan sekumpulan CSO (pertubuhan masyarakat awam) khususnya Global Relief Malaysia yang menghantar sekumpulan tujuh orang ke Afghanistan sebagai misi mencari fakta. Kami menggunakan semua peluang, ”katanya.

Pejuang Taliban memasuki Kabul pada 15 Ogos dan menguasai Afghanistan untuk pertama kalinya dalam tempoh hampir 20 tahun ketika tentera AS berundur dari negara itu. Berikutan penguasaan Taliban di ibu negara Afghanistan, presiden Mohammad Ashraf Ghani meninggalkan negara itu.

Ditanya mengenai peningkatan jumlah jenazah warga asing yang meninggal dunia akibat Covid-19 yang tidak dituntut oleh kedutaan, Saifuddin berkata, Wisma Putra telah menghubungi pihak kedutaan yang terlibat melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!