Pekerja kontrak maut terjatuh bumbung kilang
BATU KAWAN - Seorang pekerja kontrak warga asing maut selepas terjatuh dari bumbung sebuah kilang di Simpang Ampat, di sini pada Khamis.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang, Hanisah Ahmad berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu, mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 30-an itu terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pemasangan sistem solar di kilang tersebut.
Menurutnya, mangsa ditemui oleh pekerja kilang dalam keadaan terlentang di aras 1 bangunan tersebut.
"Mangsa didapati terjatuh dari bumbung setelah terpijak bumbung lut sinar (skylight) di salah satu bangunan di kilang tersebut.
"Sepasukan pegawai penyiasat dari JKKP Pulau Pinang telah ke lokasi kejadian dan menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima berita mengenai kemalangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan satu notis larangan mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Notis itu dikeluarkan kepada pemilik premis kerana kesalahan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja semasa bekerja sehingga menyebabkan berlaku kejadian kemalangan.
"Lokasi kejadian disita dan kerja-kerja pemasangan sistem solar turut dihentikan serta-merta sehingga siasatan selesai dijalankan. Majikan juga diarahkan untuk menyediakan dokumen tambahan bagi membantu proses siasatan lanjut dengan kadar segera," katanya.
Jelasnya, tindakan perundangan akan diambil sekiranya didapati berlaku pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ke atas pihak yang bertanggungjawab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!