Gempa bumi lemah dikesan di Kundasang
KOTA KINABALU - Gempa bumi lemah berukuran 3.4 pada skala Richter dikesan berlaku di Kundasang pada 6.20 pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan memberitahu gempa bumi itu berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.6 darjah timur di Kundasang.
"Gempa bumi itu dikesan 12 kilometer barat laut dari Ranau dengan kedalaman 10 kilometer.
"Gegaran mungkin dirasai di sekitar Kundasang dan Ranau. Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini," menurut kenyataan itu pada Sabtu.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah setakat ini tidak menerima apa-apa laporan kejadian tidak diingini akibat gempa bumi lemah itu.
Khamis lepas, satu gempa bumi lemah berukuran 3.2 skala Richter turut dikesan berlaku di Semporna. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!