Liek Hou impi lakar sejarah raih emas

Liek Hou akan berhadapan dengan pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia di final pada Sabtu. - Foto Bernama
Liek Hou akan berhadapan dengan pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia di final pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

JAGUH badminton negara, Cheah Liek Hou hanya selangkah lagi untuk melakar sejarah sebagai juara badminton temasya Sukan Paralimpik pertama selepas mara ke final acara perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) di sini pada Sabtu.

Sukan badminton pertama kali dipertandingkan di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Pemain berusia 33 tahun itu berjaya bangkit selepas tewas set pertama untuk menundukkan Fang Jen-yu dari Taiwan dengan kemenangan 15-21, 21-10, 21-16 dalam empat peringkat terakhir di Yoyogi National Stadium di sini, pada sesi pagi.

Pemain nombor dua dunia itu yang bermula perlahan dengan mengekori pemain lawan dalam set pertama sebelum kalah 15-21.

Liek Hou, bagaimanapun kembali ke gelanggang dengan lebih bertenaga dan mendahului 11-6 selepas tempoh rehat di set kedua, untuk menyamakan kedudukan dengan kemenangan 21-10.

Pada masa penentuan, walaupun pertarungan hampir sama pada awalnya, juara dunia enam kali itu mempamerkan keunggulan untuk menguasai kedudukan 21-16 bagi menjamin kedudukannya di final.

Liek Hou akan berhadapan dengan pemain nombor satu dunia, Dheva Anrimusthi dari Indonesia di final, sementara Jen-yu akan menentang pemain Indonesia lain, Suryo Nugroho untuk penentuan pingat gangsa. Kedua-dua perlawanan dijadualkan pada 4 petang waktu tempatan (3 petang waktu Malaysia).

Dheva menundukkan pemain nombor tiga dunia Suryo 21-13, 21-15 pada perlawanan separuh akhir, sebelum ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!