Trek licin, Dek Wan akui hampir terjatuh

Mohamad Ridzuan beraksi dalam acara 100m T36 lelaki pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohamad Ridzuan beraksi dalam acara 100m T36 lelaki pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Permukaan trek yang licin disebabkan hujan renyai membasahi Stadium Olimpik sejak awal pagi tadi menyekat impian Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi untuk mempertahankan emas dimenangi di Rio 2016.

Bertanding dalam acara 100 meter (m) lelaki T36 (kecacatan fizikal), Mohamad Ridzuan yang memulakan larian dengan baik pada 50m pertama, mengakui keadaan trek licin menyebabkan beliau hampir terjatuh pada 10m terakhir perlumbaan.

“Saya dah buat yang terbaik, kalau tak licin boleh dapat pingat...sikit saja lagi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas aksinya hari ini.

Biarpun mengakhiri kempen kedua Paralimpik tanpa sebarang pingat, semangat pelari berusia 33 tahun yang mesra dengan panggilan ‘Dek Wan’ masih membara untuk menyertai kejohanan mendatang termasuk Paris 2024.

Sehubungan itu, beliau yang mengalami palsi serebrum juga tekad untuk merampas kembali pingat emas dimenangi oleh atlet China, Deng Peicheng dalam acara itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dek Wan gagal pertahan emas Rio 2016

Selain merangkul emas, Peicheng berjaya memadam rekod Paralimpik milik jaguh Australia, James Turner, yang dilakukan pada peringkat saringan kedua semalam iaitu 11.87s, dengan rekod baharu 11.85s dalam aksi final pagi tadi.

James, yang merupakan pemegang rekod dunia dengan catatan 11.72s dalam kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada 2019 terpaksa berpuas hati dengan perak menerusi catatan masa 12.00s.

Artikel Berkaitan:

Pingat gangsa pula milik Alexis Sebastian Chavez dari Argentina yang melakukan catatan masa 12.02s.

Mohamad Ridzuan sebelum ini mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik sejak negara mula menyertai temasya berprestij itu pada edisi 1972 di Heidelberg, Jerman, menerusi acara sama di Rio 2016. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!