'Recall election' sudah bermula di Kelantan: Pas

Idris (barisan hadapan, dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Penyampaian Bakul Makanan di Masjid Sallahuddin AL Ayyubi Setapak pada Sabtu.
Idris (barisan hadapan, dua dari kanan) menyempurnakan Majlis Penyampaian Bakul Makanan di Masjid Sallahuddin AL Ayyubi Setapak pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pas menyokong cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang berhasrat menghantar notis usul bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula atau 'recall election'.

Naib Presiden Pas, Senator Idris Ahmad berkata, akta yang diusulkan itu boleh berfungsi sebagai undang-undang bagi mencegah aktiviti lompat parti yang sudah lama disokong oleh Pas malah dimulakan di Kelantan.

"Kita setuju, memang daripada awal lagi Pas di Kelantan yang buat (di dalam Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan) tetapi oleh kerana waktu itu ia dibawa ke mahkamah maka dibatalkan keputusan yang melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lompat parti ketika itu," katanya.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Agama) berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Bakul Makanan di Masjid Sallahuddin AL Ayyubi Setapak pada Sabtu.

Seramai 200 penerima menerima bantuan dalam program anjuran Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama pihak pengurusan Masjid Sallahuddin AL Ayyubi.

Untuk rekod, pada tahun 1991, Perkara 31A telah ditambah di Kelantan bagi menetapkan bahawa jika mana-mana ahli Dewan Negeri yang keluar daripada parti politiknya hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Negeri dan kerusinya hendaklah menjadi kosong.

Ketika itu, terdapat dua ADUN dari Parti Semangat 46 iaitu Nordin Saleh dan Wan Najib Wan Mohamad telah lompat menyertai UMNO sebelum jawatan mereka dilucutkan.

Berikutan itu, Pilihan Raya Kecil dilaksanakan dan mereka bertanding menjadi calon UMNO, namun kalah kepada calon Semangat 46.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mereka mencabar di mahkamah dan akhirnya keputusan menyebelahi mereka berdua dan memutuskan bahawa Perkara 31A Perlembagaan Kelantan itu adalah terbatal kerana bercanggah dengan kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Pada Rabu, Azalina yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, bercadang menghantar notis usul berkenaan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk RUU Ahli Yang Bukan Ahli Kerajaan untuk dibentangkan pada persidangan Parlimen yang akan bermula 13 September ini.

Katanya, usul itu diharap menjadi titik permulaan untuk memperkenalkan pilihan raya pecat melalui sidang Parlimen, September ini.

Beliau berbesar hati untuk mengadakan perbincangan di antara kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan blok pembangkang serta blok Bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.

ARTIKEL BERKAITAN: Azalina cadang hantar notis usul RUU berkaitan recall election

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!