Stok beras negara meningkat 290,000 tan menjelang 2023
SHAH ALAM - Simpanan stok beras negara akan ditingkatkan secara berperingkat kepada 290,000 tan metrik menjelang tahun 2023.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kos penambahan stok beras negara itu yang berjumlah RM250 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Beliau berkata, menjelang akhir tahun ini, Bernas juga akan meningkatkan jumlah pegangan stok beras negara dari 150,000 kepada 200,000 tan metrik.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan melakukan pemeriksaan berkala di seluruh negara bagi memastikan bekalan beras di seluruh negara sentiasa mencukupi bagi menampung keperluan penduduk termasuk ketika tempoh pandemik Covid-19.
“Lawatan pemeriksaan berkala dibuat dari masa ke masa di semua lokasi penyimpanan stok beras yang meliputi zon Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Pihak kementerian akan sentiasa menilai tahap stok beras negara dalam menampung sebarang keperluan atau permintaan luar jangka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menerusi kenyataan tersebut, Ronald dilaporkan telah mengetuai satu lawatan pemeriksaan ke gudang simpanan beras stok penimbal beras (stokpail) negara pada Sabtu di Telipok, Kota Kinabalu, Sabah.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey G Kitingan dan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras MAFI, Azman Mahmood.
Mengulas mengenai lawatan pemeriksaan tersebut, Ronald berkata, ia selaras dengan terma perjanjian konsesi antara kerajaan Malaysia dengan Bernas bagi memastikan stok beras negara sentiasa mencukupi dan berada dalam keadaan yang baik sepanjang masa.
Menurutnya, terdapat sebanyak 31 gudang stok beras di seluruh negara dengan masing-masing terletak di semenanjung dan Sabah serta Sarawak.
“Prestasi pengurusan dan penyimpanan stok beras negara yang dilaksanakan oleh Bernas setakat ini telah memenuhi Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) obligasi sosial yang ditetapkan oleh kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Ronald berkata, keperluan tahunan beras bagi rakyat Malaysia kini mencapai sebanyak 2.5 juta tan metrik manakala pengeluaran beras negara berada sekitar 70 peratus daripada keperluan tersebut.
“Oleh itu, negara masih mengimport kira-kira 700,000 hingga 900,000 tan metrik beras setiap tahun bagi menampung kekurangan pengeluaran beras dalam negara dan memenuhi permintaan terhadap beras-beras premium dan istimewa,” katanya.
Tambah beliau, pengoperasian industri padi dan beras tempatan tidak terjejas walaupun negara sedang berdepan dengan pandemik Covid-19.
Jelasnya, kerajaan meletakkan aktiviti pertanian termasuk aktiviti penanaman padi sebagai perkhidmatan perlu bagi memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi dan dapat diperoleh oleh rakyat sepanjang masa.
“Kerajaan akan terus memastikan operasi industri padi dan beras serta rantaiannya sentiasa lancar dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan ruji negara serta menjamin kecukupan stok beras negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ronald memaklumkan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bakal merangkumi strategi utama yang akan menetapkan hala tuju baharu bagi memartabatkan industri padi dan beras negara di samping meningkatkan pendapatan pesawah.
Katanya, antara matlamat utama DAN 2.0 yang akan dilancarkan dalam masa terdekat itu adalah bagi meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras ke tahap 80 peratus dalam tempoh pelaksanaannya dari tahun 2021-2030.
“Peningkatan produktiviti padi negara akan membantu memastikan kemampanan bekalan padi dan beras dalam negara sekaligus menjamin sekuriti makanan negara untuk jangka panjang,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!