Lebih 19,000 penjaja, peniaga kecil Perak divaksin

Nolee Ashilin meninjau pelaksanaan Program Movak di DUN Tualang Sekah anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini pada Sabtu.
Nolee Ashilin meninjau pelaksanaan Program Movak di DUN Tualang Sekah anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini pada Sabtu.
A
A
A

KAMPAR - Seramai 19,500 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima vaksin Covid-19.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammad Radzi berkata, ketika ini seramai 39,000 penjaja dan peniaga kecil berdaftar dengan PBT dan 50 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin berkenaan.

Menurutnya, sehubungan itu, kesemua mereka disasarkan selesai menerima dos vaksin lengkap menjelang Oktober.

"Sebenarnya dalam masa terdekat, memang kita sasarkan untuk mereka yang berdaftar dengan pihak kerajaan sama ada melalui Tourism Perak ataupun PBT yang masih belum divaksinasi akan selesaikan kerana kita mahu pembukaan ekonomi yang dibenarkan dalam fasa dua dapat dijalankan secara sepenuhnya.

"Jadi itu menjadi keutamaan kita. Jadi kita akan cuba juga gerakkan dalam bulan September ini untuk pastikan yang mana sudah daftar dengan kami akan pastikan telah divaksinasi," katanya kepada pemberita selepas melawat program Mobilisasi Vaksin Komuniti (Movak) anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kampar pada Sabtu.

Hadir sama pada program itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti) KPKT, Datuk Azhar Ahmad.

Beliau berkata, bagi pemain industri pelancongan pula, hanya sekitar 1,200 yang berdaftar di negeri ini masih belum menerima vaksin.

Sementara itu, Nolee Ashilin menjelaskan Program Movak kendalian KPKT turut membantu mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada peniaga, penjaja kecil dan pemain industri di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, terdapat empat lokasi program berkenaan iaitu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah, DUN Simpang Pulai dan dua lagi di kawasan Sungai Siput dengan sasaran 4,200 individu divaksin selama dua hari bermula Sabtu.

"Kita akan memohon kepada pihak KPKT untuk datang semula ke Perak khusus membantu kita atau rakyat yang belum divaksinasi.

"Kita juga mengambil pendekatan memasukkan peserta dalam kalangan peniaga dan penjaja kecil yang berdaftar begitu juga pemain-pemain industri pelancongan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!