MOSTI tingkatkan infrastruktur digital dan teknologi disruptif
PUTRAJAYA - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberikan tumpuan kepada meningkatkan infrastruktur digital dan teknologi disruptif iaitu nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi permulaan, pembiayaan dan pembangunan bakat bagi pembangunan sosial dan ekonomi negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, usaha berkenaan akan memacu agenda kelestarian negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari.
"Untuk makluman, sedang berusaha membangunkan vaksin Covid-19 dan vaksin-vaksin lain yang berkaitan dengan penyakit-penyakit tropika. Usaha ini akan melahirkan lebih ramai pakar dalam pembangunan vaksin dan saintis dalam penyelidikan.
“Selain itu, penekanan akan turut diberikan kepada pembangunan innopreneur iaitu melahirkan usahawan berlandaskan inovasi dalam kalangan B40 dan M40 yang membabitkan produk inovasi dan ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, ia sebagai sumber penjanaan pendapatan untuk mereka meningkatkan kualiti kehidupan dalam mengharungi pandemik Covid-19.
Dr Adham berkata, penekanan diberikan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan transformasi digital yang berasaskan kepada pembangunan tempatan berteknologi tinggi dan ekonomi kurang sentuhan terutamanya dalam menghadapi situasi pandemik yang mencabar ketika ini.
Beliau berkata, selain itu MOSTI akan terus menerajui bidang teknologi baru muncul antaranya dron, elektrik dan elektronik, Internet kebendaan (IoT), kecerdasan buatan (AI), blok rantai, ruang simpanan awan, robotik serta inovasi dengan pendekatan yang berpusatkan manusia.
Katanya, MOSTI akan memastikan semua warga kerja kementerian dan agensi-agensi di bawahnya sentiasa proaktif serta pantas dalam menghasilkan impak berprestasi tinggi serta mengarusperdanakan sains, teknologi dan inovasi.
Dr Adham berkata, budaya kerja cemerlang ini akan memperhebatkan mutu penyampaian kepada masyarakat seterusnya meningkatkan produktiviti dalam memacu IR 4.0 ke arah Masyarakat 5.0. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!