Sabah ambil tindakan segera selesai masalah jalan terjejas banjir
KOTA KINABALU- Tindakan segera akan diambil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, bagi membaiki jalan yang terjejas dalam kejadian tanah runtuh dan banjir di beberapa daerah negeri ini, ekoran hujan lebat berterusan sejak Khamis lepas, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kebanyakan jalan berturap yang runtuh adalah di bawah kendalian pihak konsesi telah dilantik oleh kerajaan, dan pihak berkenaan telah diarahkan untuk membaikinya dengan kadar segera.
“JKR telah pun meminta pihak konsesi yang terlibat untuk memantau dan memperbaiki mana-mana jalan raya di bawah kendalian konsesi yang berkaitan, untuk diperbaiki segara atau membuat jalan alternatif agar pengguna jalan raya tidak terkesan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Bung Moktar berkata, antara jalan utama terlibat ialah, jalan Kota Kinabalu ke Keningau, yang merupakan jalan Persekutuan di bawah konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd, yang kini sedang diperbaiki dan jalan altternatif juga disediakan kepada pengguna di laluan tersebut.
“Saya turut menerima aduan beberapa batang jalan raya di beberapa buah daerah di negeri ini mengalami kerosakan, dan pihak JKR juga telah meminta konsesi yang telah dilantik untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan segera.
“Terdapat juga aduan mengenai jalan raya dinaiki air banjir, khususnya yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya Pan Borneo dan pihak kontraktor pelaksana telah diarah agar memantau keadaan ini serta membersihkan parit yang sedia ada, agar air tidak bertakung,” katanya.
Sementara itu, Bung Moktar meminta semua jurutera JKR di setiap daerah memantau situasi jalan yang berisiko runtuh, agar tahap keselamatan pengguna terkawal ekoran keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!