Dulu diejek, sekarang juara Paralimpik

Cheah Liek Hou meraikan kemenangan selepas menewaskan lawannya dari Indonesia Dheva Anrimusthi pada perlawanan akhir kategori SU5 (berdiri/ kemerosotan anggota badan atas) temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Yoyogi National Stadium hari ini. -Foto Bernama
Cheah Liek Hou meraikan kemenangan selepas menewaskan lawannya dari Indonesia Dheva Anrimusthi pada perlawanan akhir kategori SU5 (berdiri/ kemerosotan anggota badan atas) temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Yoyogi National Stadium hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

JUARA badminton Sukan Paralimpik Tokyo Cheah Liek Hou membuktikan ejekan diterimanya satu masa dahulu, bukanlah penghalang baginya untuk melakar sejarah baharu dalam dunia sukan tanah air, hari ini.

Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu di sini, kali ini.

Pemain nombor dua dunia itu menewaskan musuh ketatnya, Dheva Anrimusthi dari Indonesia, 21-17, 21-15 pada hari keempat acara badminton yang berlangsung di Yoyogi National Stadium.

Pemain berusia 33 tahun itu mengakui, tidak terkesan dengan ejekan serta gurauan kepadanya kerana baginya ia membakar semangatnya untuk membuktikan kekurangan fizikal dialaminya, mampu membawa kejayaan dalam hidupnya.

“Selain bermain dalam kategori para, saya pernah juga bersaing dengan pemain normal sewaktu zaman sekolah sejak berusia 12 tahun.

“Ketika itu ada sebilangan individu yang bergurau, main dengan atlet para pun kalah, inikan pula nak main dengan pemain normal, namun saya tak patah semangat kerana nak buktikan saya boleh berjaya,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas aksi final pada Sabtu.

Selepas menempa banyak kejayaan termasuk bergelar juara dunia sebanyak enam kali, Liek Hou mengakui hampir berputus asa menjadi pemain badminton, apabila menyedari sukan berkenaan tidak dipertandingkan di Sukan Paralimpik.

Katanya, beliau sehinggakan terpaksa bekerja sebagai eksekutif pemasaran sekitar tahun 2015 dan hanya menjadikan badminton sebagai kerjaya sambilannya.

Artikel Berkaitan:

Namun, segalanya berubah bagi Liek Hou, apabila sukan popular di Malaysia itu buat kali pertama disenaraikan pada Paralimpik Tokyo.

Sehubungan itu, beliau mengambil keputusan untuk memberi tumpuan sepenuhnya untuk beraksi di Sukan Paralimpik, termasuk menjadikan legenda badminton tanah air Datuk Rashid Sidek sebagai jurulatihnya sejak 2019.

“Bayangkan ketika bekerja dahulu berat badan saya bertambah sehingga 92 kilogram (kg) namun selepas menyedari berpeluang untuk ke Paralimpik, saya kembali jalani rejim latihan sehingga berat badan menyusut sebanyak 20kg,” tambahnya.

Liek Hou, yang mengalami ‘Erb’s Palsy’ sehingga menyebabkan tangan kanannya lemah dan kurang stabil sejak dilahirkan berkata, penantian yang ditunggunya sejak sekalian lama bagi menyaksikan sukan badminton tersenarai dalam Sukan Paralimpik berbaloi, apabila dapat menghadiahkan emas buat negara.

Beliau seterusnya mendedikasikan emas ini untuk rakyat Malaysia khususnya Rashid, keluarga, bekas jurulatihnya dan rakan-rakannya.

Mengulas mengenai permainannya hari ini, beliau berkata kata-kata perangsang diberikan Rashid berjaya menenangkan dirinya, selepas mengakui gementar pada aksi separuh akhir pagi tadi.

“Jurulatih beritahu saya, lupakan aksi separuh akhir tadi, fokus untuk final kerana beliau percaya Dheva yang merupakan pemain pilihan pastinya akan berasa tertekan, dan hasilnya saya berjaya bermain dengan tenang dalam perlawanan akhir,” katanya.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur mengesahkan slot ke final apabila bangkit selepas tewas set pertama 15-21, kepada pemain Taiwan Fang Jen-Yu, untuk memenangi dua set berikutnya, 21-10, 21-16. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!