Bot karam Pulau Nunuyan: Mayat seorang lelaki ditemui
SANDAKAN - Satu lagi mayat dipercayai mangsa bot karam di perairan Pulau Nunuyan dekat sini 28 Feb lepas ditemui pagi ini.
Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Sandakan di sini, mayat seorang lelaki dewasa itu ditemui orang awam di perairan dekat daratan Kampung BDC di sini pukul 9.05 pagi.
Pasukan Polis Marin Sandakan, yang turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), membawa mayat itu ke jeti PPM Sandakan untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR yang masuk hari ketiga itu diteruskan pagi ini melibatkan APMM, PPM, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia.
Dalam kejadian itu, bot malang itu membawa seorang tekong dan 10 penumpang dipercayai dalam perjalanan dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dan terbalik akibat keadaan laut bergelora.
Lima mangsa diselamatkan bot tempur TLDM yang melihat mereka berpaut pada bot yang terbalik sebelum mayat kanak-kanak lelaki ditemui empat jam kemudian di kawasan berhampiran.
Semalam, mayat seorang wanita dipercayai mangsa bot yang sama, ditemui nelayan pada pukul 12.44 tengah hari.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!