Negara boleh jimat RM11.2 bilion
SHAH ALAM - Negara dijangka dapat menjimatkan sebanyak RM11.2 bilion sekiranya Halatuju Inovasi Air Kebangsaan 2021-2040 yang dirangka Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) digunapakai.
Ketua Pengarah NAHRIM, Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh berkata, penjimatan itu diperoleh dari sudut pencegahan bencana, kerosakan dan pencemaran berkaitan air.
"Dengan RM100 juta peruntukan yang diberikan kerajaan menerusi pelan ini (Inovasi Air Kebangsaan 2040), kita jangkakan boleh jimatkan RM11.2 bilion.
"Ia juga menjana ekonomi sebanyak RM6.4 bilion yang berkaitan dengan pelancongan eko-kesihatan dan industri sektor air," katanya selaku panelis pada Webinar Inovasi Pelestarian Alam Sekitar yang diadakan secara maya pada Sabtu.
Profesor Institut Infrastruktur Tenaga Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Datin Profesor Ir Dr Lariyah Mohd Sidek dan UM Water Warriors Living Lab Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Zeeda Fatimah Mohamad
Webinar itu turut membariskan panelis Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Profesor Institut Infrastruktur Tenaga Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Datin Profesor Ir Dr Lariyah Mohd Sidek dan UM Water Warriors Living Lab Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Zeeda Fatimah Mohamad, manakala Ketua Penolong Setiausaha KASA, Dr Zurina Moktar bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Md Nasir berkata, pelan itu juga akan menyaksikan lebih kurang dua juta pekerja akan terlibat dalam sektor air negara.
"Dijangkakan sehingga 2040 sebanyak 630,000 peluang pekerjaan dapat dicipta dari peringkat profesional hingga ke peringkat pekerja sokongan.
"Jadi kita harap Halatuju Inovasi Air Kebangsaan 2040 ini dapat digunapakai nanti dan ia berjaya," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pelan itu, beliau berkata, ia telah dibentangkan kepada Majlis Sains Negara sebagai kertas makluman dan akan dibentangkan sekali lagi oleh Ketua Setiausaha KASA pada bulan ini atau bulan depan untuk dimuktamadkan.
Menurutnya, hala tuju itu dirangka sebagai sistem pengurusan air ribut kerana jika tidak dikawal akan menyebabkan berlaku bencana seperti banjir, tanah runtuh dan kemarau.
Katanya, kaedah pengurusannya membabitkan simpanan air dari sungai, tasik semula jadi, kolam takungan banjir, takungan pinggiran sungai dan takungan air bawah tanah.
"Untuk menggunapakai sumber air ini ia disalurkan ke Loji Rawatan Air (LRA) dan akan pergi ke industri serta kumbahan.
"Dari sudut ini, kita tekankan pembangunan Sistem Saliran Mesra Alam (MSMA)," katanya.
Md Nasir menjelaskan, pelan itu menggariskan empat matlamat utama iaitu sungai bersih, rizab margin (air), kewujudan sistem air pintar dan pengurangan risiko bencana.
Katanya, seiring dengan pelan itu inovasi dan kajian susulan turut dilakukan melibatkan bahan cemar baru, mikroplastik,
pembangunan sensor, teknologi empangan sabo, dron, ikan robotik dan pembangunan sistem data NAHRIM Hydro-Climate Data Analysis Accelerator (N-HyDAA).
Jelasnya, kajian turut dilakukan melibatkan motor pasir, simpanan air bawah tanah dan peranti kawalan pencemaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!