Khairy sasar pengurangan 70 peratus penggunaan katil ICU
PUTRAJAYA - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggariskan 26 petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dicapai kementeriannya dalam tempoh 100 hari termasuk pengurangan sehingga 70 peratus penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) Covid-19.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menyasarkan penggunaan katil bukan ICU menurun sehingga 50 peratus bagi tempoh sama.
"Kita akan memastikan negeri-negeri seperti Kedah dan Sabah mempunyai kapasiti ICU mencukupi. Jika perlu, kita akan menghantar beberapa unit ICU kepada yang memerlukan," katanya.
Menurutnya, kementerian akan memberi fokus dalam usaha mengurangkan peratusan kes kematian di luar atau luar hospital (BID) kepada kurang 15 peratus daripada jumlah kematian.
"Kita juga akan memastikan fasiliti kesihatan mempunyai silinder oksigen yang mencukupi. Setakat ini tiada fasiliti KKM yang kekurangan peralatan tersebut," katanya dalam temu bual bersama media berhubung KPI 100 hari KKM pada Jumaat lalu.
Khairy berkata, KKM akan memperluaskan pelaksanaan pusat penilaian Covid-19 secara virtual (VCAC) ke beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Melaka, Pulau Pinang, Johor dan Perak.
"Seperti kita buat di Lembah Klang, pesakit Covid-19 tidak perlu lagi ke CAC," katanya.
Ujar beliau, sebagai kementerian yang menjadi tunjang utama peperangan melawan Covid-19, KKM pasti menjadi tumpuan rakyat dalam tempoh 100 hari ke arah persiapan peralihan negara ke fasa endemik tanpa sekali-kali meminggirkan hal-hal kesihatan lain.
"Pastinya rakyat mahu melihat apakah langkah penting diambil KKM bagi mengawal penularan dan lebih utama memastikan nyawa rakyat dilindungi," katanya.
Jelas beliau. persiapan sewajarnya perlu dibuat dalam menghadapi Covid-19 sebagai endemik agar dapat hidup bersama virus dengan selamat.
"Bagi memastikan kita terus selamat dari ancaman wabak ini, persiapan dan peralihan dalam kehidupan seharian perlu dibuat dengan baik, apatah lagi dengan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial," katanya.
Tambah beliau, satu polisi jelas berhubung pelaksanaan ujian dan pengesanan kontak rapat dalam fasa endemik akan dibangunkan.
"Ia menggariskan keadaan mana yang perlu dibuat ujian, kekerapan dan menetapkan situasi tertentu supaya rakyat lebih jelas," katanya.
Khairy berkata, KKM bertanggungjawab memastikan rakyat dapat memahami dan mengamalkan norma baharu dengan baik bagi menjamin keselamatan semua.
"KKM akan bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) untuk mengeluarkan satu kerangka prosedur operasi standard (SOP) baharu lebih mudah dan jelas untuk difahami rakyat dalam tempoh endemik ini," katanya.
Menurutnya, KKM juga akan mengumumkan keputusan kajian terhadap keberkesanan ubat anti parasit, Ivermectin dalam mencegah kemerosotan kesihatan pesakit Covid-19 ke kategori empat atau lima.
"Bagi mengurangkan kes rawatan tertangguh, perkhidmatan kesihatan primer kepada masyarakat melalui penggunaan telekonsultasi akan ditingkatkan 100 peratus dengan tambahan 40 lagi klinik kesihatan yang melaksanakan sesi tersebut.
"Ia termasuk pengurangan sehingga 20 peratus kes tertunggak bagi pembedahan am (elektif) melalui penyumberluaran ke fasiliti swasta di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan membangunkan aplikasi untuk mengesan Covid-19 melalui batuk iaitu Prototaip Cough Apps (versi Beta).
"Ia menerusi pembangunan pangkalan data suara, alat pengumpulan dan pemeriksaan suara berasaskan web dalam talian dan model kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Dalam tempoh sama, Khairy berkata, fungsi aplikasi MySejahtera ditambah baik dari semasa ke semasa seperti kes Long Covid-19 boleh dilaporkan melalui aplikasi tersebut bagi memudahkan tindakan petugas kesihatan untuk memberi bantuan kepada pesakit.
"Data mengenai Covid-19 diberikan kepada umum di dalam Github Open Source mulai minggu depan bagi meningkatkan keyakinan dalam pelaporan kepada awam," ujarnya.
Bagi langkah kesihatan bukan Covid-19 pula, katanya, KKM akan memperluaskan cukai minuman manis pracampuran selain pembentukan jawatankuasa menangani masalah kanak-kanak bantut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!