Prayut terselamat undi tidak percaya buat kali ketiga
BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha dan lima menteri kabinet terselamat undi tidak percaya di Parlimen pada Sabtu ketika siri protes antikerajaan semakin meningkat di tengah-tengah lonjakan kes jangkitan wabak Covid-19.
Bekas jeneral tentera itu menerima 264-208 undi, manakala Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul (269-196 undi); Menteri Buruh, Suchart Chomklin (263-201 undi); Menteri Pengangkutan, Saksayam Chidchob (269-195 undi); Menteri Pertanian, Chalermchai Sri-on (270-199 undi) serta Menteri Masyarakat dan Ekonomi Digital Baharu, Chaiwut Thanakamanusorn (267-202 undi).
Proses undi tidak percaya itu dijalankan selepas parti pembangkang sejak awal minggu lalu mengkritik ketidakcekapan Prayut bersama menteri kanan di bawah kepimpinannya dalam menguruskan program bantuan ekonomi, usaha membendung penularan Covid-19 dan kadar perlahan kempen vaksinasi kebangsaan.
Difahamkan, pihak pembangkang memerlukan 242 daripada 482 undi ahli Parlimen untuk menyingkirkan Prayut yang terselamat undi tidak percaya buat kali ketiga sejak Pilihan Raya Umum 2019.
Ketika berdepan kritikan yang semakin meningkat, Prayut dengan angkuh menyatakan kerajaan pimpinannya telah melakukan sehabis baik untuk menyelamatkan nyawa dan memulihkan semula ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut.
“Belum ada Perdana Menteri yang membantu rakyat seperti saya dalam sejarah negara ini,” ujarnya.
Sejak April lalu, Thailand telah merekodkan lebih 1.2 juta kes jangkitan dan lebih 12,000 kematian akibat Covid-19 yang sebahagian besarnya disebabkan varian Delta. - Agensi
Info:
>Pakatan Prayut menguasai kira-kira 60 peratus kerusi Parlimen.
>Kali terakhir proses undi tidak percaya terhadap beliau diadakan pada Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!