Malaysia mampu lahirkan atlet bertaraf antarabangsa
KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah pencapaian cemerlang Abdul Latif Romly membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet dan individu yang berkualiti, berkaliber dan bertaraf antarabangsa.
Dalam catatan menerusi laman Facebook rasmi Istana Negara, Seri Paduka berdua bertitah, ia juga membuktikan bahawa dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh, rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.
Baginda berdua turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Abdul Latif yang menghadiahkan pingat emas ketiga buat negara di Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun hari ini.
"Seri Paduka berdua, pada masa yang sama, menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan beliau (Abdul Latif Romly) yang telah sekali gus mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
"Seri Paduka berdua menzahirkan harapan semoga kejayaan dan semangat perjuangan Abdul Latif turut menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya para atlet di Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing di dalam negara mahupun di persada antarabangsa," demikian menurut catatan itu.
Selain itu, Seri Paduka berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada juara bertahan Rio 2016 itu dan mendoakan semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan memahat sejarah serta mengharumkan nama di kejohanan akan datang.
Abdul Latif memenangi pingat emas Paralimpik dalam acara lompat jauh lelaki T20 (kecacatan intelektual), di temasya berprestij itu, hari ini.
Atlet dari Perlis itu berada dalam kelas tersendiri apabila terus memimpin kedudukan dengan lompatan pertamanya 7.26 meter yang sudah cukup mengesahkan emas ketiga Malaysia di Sukan Paralimpik Tokyo.
Terdahulu, Cheah Liek Hou mencipta sejarah muncul pemain pertama memenangi emas dalam kategori perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), selepas sukan badminton dipertandingkan buat kali pertama di temasya berprestij itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!