CDM sangkal Ziyad lewat 28 minit
KETUA Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan jaguh lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli lewat ke venue pertandingan 28 minit, Selasa lepas.
Megat D Shahriman berkata, dakwaan seperti dilapor sebuah akhbar tempatan Jumaat lepas yang memetik sumber kontinjen negara itu tidak tepat selain tidak pernah memberi sebarang input kepada mana-mana pihak mahupun pemberita berkenaan.
“Saya menyangkal dakwaan laporan akhbar itu. Cerita yang diberikan sumber itu tunggang-langgang,” katanya kepada Bernama.
ARTIKEL BERKAITAN: Kemenangan Ziyad dibatalkan
KOM tidak iktiraf balingan Ziyad sebagai rekod kebangsaan
Saya bertanggungjawab atas semua yang berlaku, kata jurulatih Ziyad
Megat D Shahriman berharap individu yang melakukan tindakan sedemikian agar lebih bertanggungjawab kerana sebarang spekulasi yang tidak benar mampu menjejaskan proses siasatan melibatkan isu penarikan semula pingat emas Muhammad Ziyad yang menyertai acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Majlis Paralimpik Malaysia sedia dihubungi oleh pihak media pada bila-bila masa sekiranya mereka mahu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu berkenaan.
Selasa lepas, Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia.
Beliau telah diklasifikasikan sebagai 'Did Not Start (DNS)' atau tidak memulakan saingan susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.
Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.
Jumaat lepas, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan dalaman berhubung pembatalan penyertaan dan kemenangan Muhammad Ziyad di temasya berprestij itu.
Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, jawatankuasa itu akan berada di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan penglibatan anggota bebas.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan mantan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Borhan Dolah dan ahlinya terdiri daripada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salim Parlan dan Ketua Jurulatih Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Mohd Manshahar Abdul Jalil. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!