Tersingkir ke Liga Premier, apa hala tuju Perak FC?

Perak FC tersingkir ke Liga Premier pada musim depan selepas tewas 1-2 di tangan Melaka United FC pada Sabtu. - Foto ihsan FB Perak FC
Perak FC tersingkir ke Liga Premier pada musim depan selepas tewas 1-2 di tangan Melaka United FC pada Sabtu. - Foto ihsan FB Perak FC
A
A
A

KEKALAHAN 1-2 kepada Melaka pada Jumaat menyaksikan Perak FC buat pertama kalinya tersingkir daripada saingan divisyen utama bola sepak negara ke kancah Liga Premier pada musim depan.

Pemerhati-pemerhati bola sepak The Bos Gaurus menyifatkan kekalahan dan turunnya kelab berusia 100 tahun itu ke kancah Liga Premier seakan melengkapkan musim malang skuad tersebut yang penuh dengan pelbagai episod dan drama baik di dalam mahupun di luar padang.

Antaranya, pemergian pemain utama secara beramai-ramai ekoran isu tunggakan gaji, peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif kelab secara mengejut, pertukaran jurulatih akibat kemerosotan prestasi pasukan dan sebagainya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata, apa yang tertulis itu perlu dijadikan pengajaran dan semua pihak harus berlapang dada serta tidak menuding jari menyalahkan antara satu sama lain disebabkan penyingkiran tersebut.

Beliau berkata, semua pihak harus duduk bersama dan memikirkan satu pelan yang lebih konstruktif agar Perak FC menyinar dalam Liga Premier pada musim depan sekali gus kembali mewarnai kancah Liga Super.

Muhammad Yadzan - Foto ihsan FB PAFA
Muhammad Yadzan - Foto ihsan FB PAFA

“Perkara ini semuanya telah menjadi ketentuan. Tidak perlu kata ini salah PAFA, salah Perak FC dan sebagainya. Bagi saya semua pun ada salah dan silap cuma selepas ini kita perlu kembali bersama dan fikirkan pembaharuan untuk kembali ke Liga Super pada dua tahun yang akan datang dengan lebih mantap,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Ahad.

Bekas pemain Perak era 70-an, Zakaria Mohamed pula berkata, hampir 90 peratus pembaharuan perlu dilakukan oleh The Bos Gaurus khususnya melibatkan barisan kejurulatihan dan pemain-pemain sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Perak FC perlu cari jurulatih yang mempunyai mentaliti juara...dan cari pemain-pemain muda yang berbakat dan mampu memberi impak kepada pasukan,” katanya.

Zakaria yang pernah mengemudi Perak FA selaku penolong jurulatih pada awal era 2000 menjelaskan hubungan antara pihak pengurusan dan pemain juga seharusnya dititikberatkan kerana ia merupakan nadi utama dalam menentukan jatuh bangun sesebuah pasukan itu untuk mencipta kejayaan.

“Masalah gaji umpamanya, sepatutnya boleh diselesaikan secara baik tetapi akibat daripada tiada komunikasi antara pengurusan dan pemain, maka ia berlegar dalam media sosial secara terang sehingga diketahui umum.

“Apabila perkara begini berlaku, ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada persembahan pemain di atas padang malah akan menjejaskan prestasi pasukan di dalam liga. Ini apa yang saya nampak berlaku kepada Perak FC,” katanya.

Selepas mengharungi 21 perlawanan liga, Perak FC kini berada di kedudukan kedua tercorot daripada 12 pasukan yang bertanding dengan hanya mengumpul 13 mata hasil tiga kemenangan, empat seri dan 14 kekalahan.

Skuad kendalian Mohd Shahril Nizam Khalil itu juga akan menghadapi Sabah FC pada aksi terakhir liga di Stadium Perak 12 September ini bagi melengkapkan jadual perlawanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!