Nafuzi tak panik, yakin peluang TFC belum berakhir

Antara aksi menarik perlawanan TFC menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Terengganu FC
Antara aksi menarik perlawanan TFC menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - Foto Terengganu FC
A
A
A

TEWAS tipis 0-1 kepada juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim malam tadi tidak menutup impian Terengganu FC (TFC) untuk mengakhiri saingan musim ini di tempat kedua sekali gus merebut slot ke kejuaraan Piala AFC tahun depan.

Malah ketua jurulatihnya, Nafuzi Zain enggan menekan butang panik walaupun menyedari sedang berdepan saingan sengit dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Penang FC.

"Peluang masih terbuka. Yang penting kita kena menang di perlawanan akhir dengan Penang FC pada 14 September depan. Kami terlalu banyak melepaskan peluang dari segi mata dalam beberapa perlawanan sebelum ini,” katanya selepas perlawanan menentang JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini malam tadi.

Gol tunggal JDT yang meranapkan misi TFC untuk mengutip tiga mata berharga dijaringkan oleh pemain import kelahiran Australia, Shane Lowry.

Selepas 21 perlawanan, TFC kini menghuni tangga ketiga liga dengan 37 mata di belakang KDA FC (39 mata) dan diekori rapat oleh Penang FC di tempat keempat juga dengan 37 mata.

Dalam pada itu, Nafuzi yang juga bekas pemain skuad Terengganu mengakui diminta mengemukakan surat tunjuk sebab kepada pihak pengurusan TFC berikutan kekalahannya dalam dua perlawanan berturut-turut ketika menentang KDA FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) sebelum ini.

Bagaimanapun beliau menganggap ia adalah perkara biasa dan menerima dengan berlapang dada apa jua keputusan yang ditetapkan oleh pihak pengurusan.

Sementara itu ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora melahirkan rasa gembira kerana anak buahnya berjaya melangsaikan misi 'membalas dendam' terhadap TFC selepas kekalahan pada pusingan pertama liga di Stadium Sultan Ibrahim April lalu.

Artikel Berkaitan:

TFC adalah satu-satunya pasukan yang berjaya mengalahkan skuad Harimau Selatan sepanjang 21 perlawanan Liga Super.

Bagaimanapun beliau mengakui ia bukan satu tugas mudah dan pemainnya perlu berhempas pulas sebelum dapat melakar kejayaan ke atas TFC sekali gus melangsaikan 'dendam' yang tertunggak.

“Mereka (TFC) menewaskan kami di Stadium Sultan Ibrahim, jadi saya minta mereka (pemain) jadikan ia sebagai azam untuk membalas dendam. Sudah pasti ia tidak mudah kerana TFC akan memberi tentangan, tetapi kami tahu pasti ada peluang untuk menewaskan Terengganu dan kami dapat melakukannya dengan bergaya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!