Vaksinasi remaja bawah 18 tahun di Sarawak mulai Rabu

Vaksinasi Covid-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka bermula Rabu ini. Gambar hiasan
Vaksinasi Covid-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka bermula Rabu ini. Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING - Vaksinasi Covid-19 bagi remaja berusia bawah 18 tahun di Sarawak dijangka bermula Rabu ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ketika ini negeri itu di peringkat akhir melaksanakan persiapan untuk melaksanakan vaksinasi kumpulan berkenaan.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memberitahu, sedang membuat persiapan untuk melaksanakan program ini susulan pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar semalam bahawa program yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu akan dimulakan di Sarawak pada Rabu ini.

"Ini kerana Sarawak sudah mencapai kadar sasaran lebih 80 peratus populasi dewasanya telah divaksin," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Uggah memberitahu, setelah persiapan selesai, pengumuman secara terperinci berkaitan pelaksanaan proses vaksinasi itu akan dilakukan.

Sementara itu, Uggah sekali lagi merayu kepada sebilangan kecil rakyat Sarawak yang menolak atau masih enggan disuntik vaksin agar berbuat demikian secepat mungkin.

Beliau berkata, selagi ada individu yang tidak divaksin mereka bukan sahaja akan membahayakan diri sendiri malah orang lain di sekeliling.

"Lebih-lebih lagi sekarang, terdapat banyak kes positif dan varian Delta yang lebih mudah berjangkit," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!