Pondok, tahfiz swasta perlu segera berdaftar
KOTA BHARU - Pemilik tahfiz dan pondok swasta yang tidak berdaftar digesa melakukan pendaftaran dengan majlis agama negeri masing-masing bagi memudahkan sebarang bantuan disalurkan kerajaan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pihaknya maklum kebergantungan operasi pusat-pusat berkenaan adalah kepada pelajar-pelajarnya, sedangkan sesi persekolahan tidak dapat dibuka disebabkan pandemik Covid-19.
Menurutnya, walaupun ada pusat tahfiz yang menggunakan kaedah pembelajaran dalam talian, namun ia tidaklah dapat membantu sepenuhnya kos operasi tahfiz berkenaan.
"Isu tahfiz swasta ini memang menjadi keutamaan pihak kami dan banyak pertemuan dan perbincangan telah dilakukan untuk mengatasi masalah ini.
"Mereka perlu mendaftar. Apa yang penting, mereka perlu mencukupi kriteria untuk beroperasinya sebuah tahfiz. Kalau semuanya baik, maka lagi mudah untuk kita salurkan bantuan dan sebagainya.
"Daftar dengan majlis agama Islam negeri kerana mereka akan kongsi dengan kita di peringkat pusat nanti," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Marzuk sebelum itu mengadakan lawatan ke Pusat Vaksinasi Outreach Parlimen Pengkalan Chepa di Masjid As-Salam di sini.
Mengulas lanjut, Marzuk berkata, untuk tahun ini sahaja, kerajaan telah memperuntukan RM60 juta bantuan untuk sekolah tahfiz swasta ini walaupun mengakui jumlah berkenaan tidak mencukupi.
Menurutnya, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai perkara berkenaan dalam waktu terdekat.
"Insya-ALLAH kalau dibenarkan beroperasi 3 Oktober ini, kami yakin mereka semua boleh bernafas lega. Apa pun kami harap mereka yang tidak berdaftar untuk melakukan demikian bagi memastikan sebarang bantuan dapat dilaksanakan dengan baik.
"Setakat ini kerajaan hanya boleh bantu berdasarkan kepada kemampuan kerajaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!