TNB sumbang tablet kepada 10 pelajar di Padang Terap
ALOR SETAR - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyumbangkan tablet wakalah zakat TNB Kedah kepada 10 pelajar sekolah menengah yang memerlukan di daerah Padang Terap.
Ketua Retail TNB Kedah, Wan Ishak Soed berkata, sumbangan tablet inisiatif TNB dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sireh/Kampung Datok diharap sedikit sebanyak membantu melancarkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
"Serahan tablet diharapkan dapat menolong masyarakat luar bandar dengan sokongan kepada pelajar bagi melancarkan PdPR, sekali gus merealisasikan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB dalam bidang pendidikan.
"Antara lain, kita berharap sumbangan berkenaan dapat merapatkan jurang digital luar bandar dengan bandar dan memantapkan sokongan CSR TNB Kedah kepada masyarakat luar bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau bersama Pengerusi Pelitawanis TNB Kedah Cawangan Alor Setar, Siti Safinaz Kamaruddin dan Pegawai Perpaduan Kota Setar/Padang Terap/Pokok Sena, Zaizulman Zainal Abidin sebelum itu menyerahkan tablet kepada waris pelajar pada Program Serahan Tablet Wakalah Zakat TNB Kedah di Surau Kampung Sireh, pada Khamis.
Wan Ishak berkata, TNB yang merupakan Rakan Perpaduan turut berharap pemberian tablet kepada pelajar tersebut memperkukuhkan agihan wakalah zakat TNB Kedah kepada warga asnaf.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!