Terengganu sedia vaksin 95,000 pelajar sekolah menengah
MARANG - Terengganu bersedia melaksanakan program vaksinasi Covid-19 terhadap 95,000 pelajar sekolah menengah berusia antara 13 hingga 17 tahun di negeri ini tidak lama lagi.
Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, program tersebut akan dilaksanakan selepas menerima garis panduan pelaksanaan imunisasi kepada pelajar.
"Program ini dimulakan di Sarawak dulu. Di Terengganu, kita sudah bersedia dan sedang menunggu garis panduan pelaksanaan, bila dapat nanti, insya-ALLAH kita akan mulakan.
"Dari segi kapasiti, kita ada kemampuan sumber manusia dan tempat, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin yang diperoleh nanti," katanya selepas meninjau proses suntikan vaksin Covid-19 secara terus (walk in) di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Utama Majlis Daerah Marang, di sini pada Ahad.
Mengulas perkembangan suntikan vaksin Covid-19 di Terengganu, Dr Kasemani menjelaskan, 86 peratus daripada 808,400 rakyat negeri ini yang layak divaksin sudah menerima suntikan pertama.
Menurut beliau, jumlah itu menjadikan baki penduduk yang masih belum divaksin seramai 122,436 orang dengan Dungun merekodkan angka paling ramai iaitu 37,843 orang.
Bagi daerah Besut katanya, seramai 36,181 penduduk masih belum divaksin diikuti Kuala Terengganu (26,096), Marang (7,706), Hulu Terengganu (7,039), Kemaman (3,362) dan Setiu (3,309).
Bagi meningkatkan jumlah penerima khususnya di daerah Dungun jelas beliau, beberapa usaha sudah dilakukan termasuk membuka PPV integrasi dan mengadakan program outreach untuk memberi suntikan kepada penduduk.
"Sehubungan itu, kita menggalakkan lebih ramai masyarakat hadir ke mana-mana PPV sama ada secara temu janji atau terus bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 bagi memastikan kita berjaya mencapai imuniti kelompok pada bulan depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!