Terima individu 18 tahun ke atas tanpa janji temu
IPOH - [DIKEMAS KINI] Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia, di sini mula menerima individu untuk divaksin tanpa janji temu mulai Ahad.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang ada di PPV berkenaan.
Menurutnya, selain itu, keputusan itu juga berdasarkan kapasiti sedia ada yang boleh ditampung PPV Stadium Indera Mulia dalam menerima individu untuk divaksin.
"Ya, kita telah membuat keputusan tersebut dengan segera berdasarkan ketersediaan vaksin dan kemampuan kapasiti PPV Stadium Indera Mulia ketika ini.
"Kita akan sentiasa melihat keperluan berkenaan dari masa ke masa bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dan kehadiran terlalu ramai orang di PPV berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai makluman menerusi seorang pengguna Twitter yang berkongsi tangkap layar perbualan bahawa PPV Stadium Indera Mulia menerima individu untuk divaksin tanpa janji temu pada Ahad.
Sementara itu, Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Mohd Akmal Kamarudin berkata, buat masa ini pemberian vaksin tanpa janji temu di PPV Stadium Indera Mulia hanya untuk individu berusia 40 tahun ke atas.
Menurutnya, bagaimanapun individu di bawah usia 40 tahun yang mempunyai penyakit, obesiti, orang kurang upaya (OKU) dan ibu hamil 12 minggu dibenar hadir tanpa janji temu bagi mendapatkan pelalian berkenaan.
Pada 14 Ogos lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad memaklumkan kerajaan negeri masih memutuskan sama ada untuk memperluaskan pemberian vaksin tanpa temu janji kepada individu bukan warga emas di negeri ini.
Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut bergantung kepada jumlah vaksin yang diterima mengikut jadual serta sasaran pemberian bagi mengelak orang ramai bersesak-sesak di PPV.
ARTIKEL BERKAITAN: Perak kemuka cadangan segera vaksin pekerja restoran, hotel
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!