Indikator positif Malaysia-Singapura buka sempadan
KOTA TINGGI - Perkembangan terkini Johor dengan 50 peratus rakyat dewasa sudah lengkap divaksin dan dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini boleh menjadi asas kukuh untuk membuka sepenuhnya sempadan Malaysia-Singapura.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, tambahan pula kira-kira 80 peratus daripada 5.9 juta penduduk Singapura sudah lengkap menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.
"Menerusi perkembangan positif di Johor dan Singapura, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan boleh bincang semula pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dengan kerajaan Singapura, jika tidak buka sepenuhnya, buka secara berperingkat-peringkat.
"Mungkin buat permulaan rakyat kedua-dua negara yang sudah lengkap divaksin dibenarkan merentas sempadan tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dalam keadaan norma baharu.
"Langkah ini sudah dibuat beberapa negara contohnya kerajaan Arab Saudi sudah membenarkan jemaah yang sudah lengkap divaksin masuk negara itu pada 9 Ogos lalu begitu juga di United Kingdom," katanya.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan pada Program Vaksinasi Berkelompok Felda Sungai Mas dan Felda Semenchu di Kediaman Rasmi Pengerusi Kejora, Bandar Penawar di sini pada Ahad.
Pada Sabtu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, seramai 1,396,010 penduduk di Johor sudah lengkap menerima dos kedua, manakala 2,224,784 lagi sudah menerima dos kedua setakat Jumaat.
Che Zakaria berkata, satu keputusan berisiko dan berani perlu dilakukan kerana Covid-19 dalam transisi fasa endemik pada Oktober ini, disebabkan itu perancangan perlu dilakukan dan mustahil untuk menunggu kes Covid-19 di kedua-dua negara mencapai sifar baru dibuka sempadan.
Menurutnya, kedua-dua negara perlu realistik dalam hal itu kerana Malaysia terutama Johor dan Singapura saling bergantung antara satu sama lain serta jika sempadan masih tidak dibuka, kedua-dua negara akan rugi.
"Ekonomi Johor banyak bergantung dengan Singapura, begitu juga sebaliknya, apatah lagi Singapura mempunyai banyak pelaburan di Johor. Hubungan Malaysia-Singapura bukan sahaja berkenaan ekonomi tetapi pertalian keluarga malah ada rakyat kita bersekolah di sana," katanya.
Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang bertaraf menteri.
"Pelantikan ini tepat pada masanya Tan Sri Muhyiddin adalah pemimpin layak untuk mengemudi MPN. Dicadangkan Pengerusi MPN dilantik di setiap negeri dalam bagi mengukuhkan usaha memerangi Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!