Lima peniaga masih jual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi RM19.90
KUALA TERENGGANU - Lima peniaga negeri ini dikesan masih menjual kit ujian kendiri Covid-19 melebihi harga kawalan yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, ia hasil tinjauan dan pemeriksaan jabatan itu terhadap 10 farmasi dan klinik yang diadakan di Kuala Terengganu, Kemaman, Besut dan Dungun pada Ahad.
"Susulan daripada pemeriksaan dijalankan ini juga, kita dapati lima daripada 10 premis yang diperiksa telah mematuhi harga runcit maksimum ditetapkan iaitu RM19.90," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, tiada sebarang tindakan dikenakan kerana KPDNHEP memberi masa sehingga seminggu kepada peniaga dan pihak terlibat untuk membuat penyesuaian serta penyelarasan harga dari tarikh kuat kuasa harga siling kit ujian kendiri Covid-19 pada Ahad.
Bagaimanapun kata Saharuddin, bermula 12 September nanti, tiada lagi kelonggaran diberikan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang ingkar dengan penetapan harga maksimum.
"Tindakan akan diambil di bawah Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya.
Sehubungan itu, Saharuddin meminta semua peniaga agar mematuhi kawalan harga yang ditetapkan bagi memastikan alat tersebut dapat dibeli pada harga mampu milik oleh pengguna dalam memantau risiko jangkitan dan penularan wabak Covid-19.
"KPDNHEP Terengganu juga mengalu-alukan kerjasama daripada pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran disediakan bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," katanya.
Kerajaan sebelum ini memaklumkan harga borong dan runcit bagi kit ujian kendiri Covid-19 diletakkan di bawah kawalan berkuat kuasa Ahad menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.
Kit berkenaan akan dijual pada harga RM16 (borong) dan RM19.90 (runcit) bagi satu set.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!