Cipta rekod dunia melantun dengan bola senaman lebih 16km
LONDON - Seorang lelaki di Britain memahat namanya dalam Rekod Dunia Guinness apabila berjaya menghabiskan cabaran melantun dengan bola senaman sejauh 16.5 kilometer (km) baru-baru ini.
David Kay dari Lancashire berkata, bagi menjayakan misi itu dia menggunakan bola senaman jenis space hopper untuk memudahkannya bergerak dari garisan permulaan hingga ke garis penamat.
Menurut Kay, dia melakukan cabaran itu bukan untuk mencipta publisiti murahan, sebaliknya bertujuan meraih serta mengumpul dana untuk disalurkan ke rumah jagaan dan pemulihan warga emas di Low Moor Road, Blackpool.
“Mengikut perancangan asal, saya sepatutnya bergerak sejauh 20km dan menamatkan lantunan di pantai Fylide.
“Tetapi saya terpaksa berhenti kerana keletihan selepas bergerak tanpa henti selama 17 jam,” katanya.
Lelaki berusia 54 tahun itu berkata, dia mengikuti setiap garis panduan dan peraturan Guinness termasuk meminta seorang rakan merakam aksinya sepanjang cabaran itu berlangsung.
Difahamkan, Kay berjaya mengumpul 10,000 pound (RM57,522) selepas menamatkan cabaran tersebut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!