Jerman mula pamer kualiti
PENGENDALI Jerman, Hansi Flick gembira dengan persembahan pasukannya yang disifatkannya telah menunjukkan kualiti terbaik ketika membelasah Armenia 6-0 dalam aksi Kumpulan J Kelayakan Piala Dunia pada awal pagi Isnin.
Kemenangan itu melonjakkan Jerman di kedudukan teratas kumpulan selain kemenanangan pertama buat Flick di laman sendiri sejak mengendalikan die Mannschaft.
Serge Gnabry menjaringkan dua gol dalam tempoh 15 minit pertama sebelum gol daripada Marco Reus dan Timo Werner meletakkan pasukan itu selesa di hadapan pada separuh masa pertama.
Jonas Hofmann dan Karim Adeyemi masing-masing menjaringkan satu gol melengkapkan kemenangan besar tersebut dengan Flick mahu pasukannya terus fokus dengan aksi seterusnya menentang Iceland pada Khamis ini.
"Saya gembira dengan perlawanan ini tetapi kami masih ada perlawanan sukar menentang Iceland. Pasukan boleh bergembira dengan persembahan mereka tetapi kami perlu terus fokus.
"Anda boleh lihat pasukan ini mempunyai kualiti tetapi apa yang lebih penting adalah untuk menunjukkannya dalam setiap perlawanan," katanya.
Flick telah menang dua perlawanan awal selepas mengambil alih Jerman selain meledak lapan gol- permulaan baik buat Flick berbanding jurulatih Jerman yang lain dalam dua perlawanan awal.
Dalam pada itu, Gnabry mengakui Jerman kali ini tampil lebih luar biasa namun perlu memperbaiki beberapa kelemahan selain konsisten untuk meraih kemenangan.
"Jika dibandingkan perlawanan menentang Liechtenstein, kami lebih efisien. Tetapi, kami terlepas beberapa peluang dan boleh meledak lebih banyak gol.
"Menentang Liechtenstein, kami berjaya meraih tiga mata. Tetapi, hari ini kami mendapat lebih banyak motivasi untuk berdepan Iceland. Saya juga gembira dapat menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan pasukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!