[VIDEO] Buka sekolah: KPM disaran libatkan pelajar duduki peperiksaan awam
SHAH ALAM - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) disaran agar sesi persekolahan secara bersemuka pada 3 Oktober ini hanya melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam.
Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Anuar Ahmad berkata, selain itu, KPM juga perlu memenuhi beberapa syarat antaranya, semua pelajar, warga sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan dan pemandu bas perlu lengkap dua dos vaksin serta telah melepasi 14 hari selepas tarikh vaksinasi kedua.
"Selain itu, semua ibu bapa dan ahli keluarga yang tinggal serumah dengan pelajar berkenaan juga perlu lengkap dua dos vaksin dan melepasi 14 hari selepas tarikh vaksinasi kedua.
"KPM juga mestilah selesai membentangkan pada rakyat prosedur operasi standard (SOP) terkini pembukaan sekolah yang merangkumi SOP keluarga; SOP perjalanan pergi dan balik sekolah serta SOP dalam kawasan sekolah yang lebih jelas dan boleh difahami dengan mudah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Sabtu, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Oktober ini.
Mengulas lanjut Anuar berkata, bagi pelajar yang tidak menduduki peperiksaan awam, mereka boleh meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) hingga hujung tahun ini atau menunggu kes baharu Covid-19 turun ke angka yang dianggap selamat serta terkawal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Bagi guru-guru yang berkeras tidak mahu vaksin, mereka bolehlah diarahkan mengajar secara PdPR untuk pelajar bukan tahun peperiksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!