Bekas askar AS tembak mati empat orang di Florida
MIAMI - Seorang bekas penembak tepat dalam tentera Amerika Syarikat (AS) disyaki melepaskan tembakan di sebuah rumah di tengah Florida sehingga menyebabkan empat terbunuh termasuk seorang bayi pada Ahad.
Menurut Syerif Gardy Judd, suspek penembak tepat itu berumur 33 tahun dan dikenali sebagai Bryan Riley menembak mati lelaki berusia 40 tahun, seorang wanita 33 tahun dan anaknya berumur tiga bulan.
Katanya, mangsa keempat ialah seorang nenek berusia 62 tahun dan seekor anjing turut ditembak mati.
Kesemua mangsa mati di sebuah rumah di Mukim Polk, Florida.
Riley yang memakai pakaian pelindung badan turut menembak seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun beberapa kali tetapi mangsa tidak mati dan masih dirawat di sebuah hospital.
Bagaimanapun, dia akhirnya menyerah diri selepas berlaku kejadian berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.
Riley yang pernah berperang di Iraq dan Afghanistan memberitahu polis bahawa dia telah mengambil pil methamphetamine sebelum melakukan perbuatan itu.
Dia turut cedera dalam kejadian itu dan dihantar ke sebuah hospital tetapi sekali lagi cuba menyerang polis dan perlu diberikan ubat penenang.
Lelaki itu kemudian dihantar ke penjara tempatan selepas menerima rawatan perubatan.
Judd berkata, motif kejadian masih belum lagi diketahui. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!