Suri rumah didenda RM12,000 sebar video tidak benar tentang vaksin
KUALA LUMPUR – Gara-gara menyebar video tidak benar mengenai vaksin, seorang suri rumah didenda RM12,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin.
Tengku Noor Azilin Wa Kembang Tengku Azizan, 46, selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim M M Edwin Paramjothy.
Mahkamah turut memerintahkan OKS itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Edwin Paramjothy berkata, kesalahan tertuduh membantutkan usaha kerajaan dalam memerangi Covid-19.
“Tempoh masa kesalahan dilakukan adalah ketika kerajaan bertungkus-lumus membasmi penularan wabak menerusi program vaksinasi Covid-19.
“Walaupun mahkamah menerima mitigasi OKS dalam mengurangkan hukuman, namun mahkamah turut mengambil kira hujahan daripada pihak pendakwaan bahawa hukuman berbentuk pengajaran perlu diberikan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat menyebabkan kebimbangan kepada orang awam, mengenai penyebaran berita tidak benar dalam satu hantaran video bertajuk ‘Siapa Yang dah daftar! Lelaki ini Bongkar Bahayanya V*ksin Covid 19?’ sebagaimana transripsi.
Kesalahan dilakukan melalui laman profil FB ‘Kak Siti Wakembang’ pada jam 11.44 malam, 25 Mei lalu dan dilihat (pengadu) di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Putrajaya pada jam 8.30 pagi, 3 Jun lalu.
Atas kesalahan itu dia boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Ia membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya dan dalam satu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak lebih RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Mengikut fakta kes, pada 3 Jun lalu, ketika pengadu berada di KKM ada melihat video berkenaan dimuat naik OKS melalui Facebook.
Hasil siasatan termasuk laporan analisa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan akaun itu didaftarkan atas nama OKS.
Tangkapan dan rampasan telefon berserta kad sim dibuat, yang mana ia menunjukkan akaun Facebook itu boleh diakses melalui barang bukti tersebut.
Ketika prosiding, Tengku Noor Azilin yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan denda yang minima dengan alasan dia tidak bekerja dan perlu menyara anak-anak termasuk seorang orang kurang upaya (OKU).
"Saya tak sokong video itu, saya bukan antivaksin dan saya setuju kerajaan beri vaksin kepada rakyat malah saya sudah mendapatkan dua dos vaksin sebelum ini.
"Saya buat kenyataan itu dengan niat untuk mendapatkan komen atau pendapat daripada rakan-rakan FB sahaja," katanya.
Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada OKS dan masyarakat.
"Perbuatan OKS sememangnya mendatangkan kebimbangan lebih-lebih lagi sekarang, negara berperang dengan Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!