Shahril Hamdan sindir PH Selangor, Negeri Sembilan

Shahril Sufian
Shahril Sufian
A
A
A

SHAH ALAM – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan menyindir tindakan Pakatan Harapan (PH) Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing bermesyuarat menolak keputusan dibuat sendiri dan menjatuhkan Menteri Besar.

Shahril Sufian dalam kenyataan di Facebooknya secara sinis mengucapkan ‘syabas’ atas keprihatinan PH Selangor terutamanya Pengerusinya yang telah bermesyuarat bersama rakan komponen lain setelah beberapa hari membisu ekoran terbongkarnya penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) secara senyap-senyap pada Mei lalu.

“Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat itu, Pengerusi PH Selangor yang kebetulan juga Menteri Besar Selangor berjanji untuk membawa isu ini kepada ‘Menteri Besar Selangor’ serta barisan Exco kerajaan negeri.

“Kerajaan PH Selangor sendiri yang nyahwarta hutan, semua parti ada wakil dalam Exco kerajaan negeri dan mustahil tak tahu keputusan nyahwarta pada bulan Mei.

“Setelah kecoh, mereka sendiri acah bantah keputusan yang dibuat.

Tiada mohon maaf, tiada mengaku terkhilaf,” katanya pada Isnin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilapor akan membawa isu berkaitan penyahwartaan HSKLU ke Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu ini.

MMKN pada 5 Mei lalu memutuskan kira-kira 536.70 hektar daripada keseluruhan kawasan HSKLU diluluskan untuk dinyahwarta mengikut Seksyen 12, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negeri Selangor 1985 dan disahkan pada 19 Mei.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahril Sufian turut mengkritik kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Sembilan berikutan hilang kepercayaan terhadap Pengerusinya yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Antara sebab yang dikemukakan adalah Menteri Besar Negeri Sembilan tidak memainkan peranan dalam usaha memperkukuhkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya dan ini boleh menyebabkan kekalahan PH di Negeri Sembilan,” katanya.

Tambah beliau, tindakan PH di dua buah negeri ini berbeza dengan parti lain yang sibuk menyalurkan bantuan, memberi vaksinasi dan berusaha untuk membawa Malaysia keluar dari situasi terkini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!